COVID-19 merupakan satu isu global terbukti menjadi penyakit sangat kejam bukan hanya kerana patofisiologi tetapi berpotensi meningkatkan tahap kesepian dalam kalangan warga emas.
Kesepian boleh berpunca daripada kurang interaksi. Sejak tahun 80-an lagi, kajian menunjukkan bahawa kesepian memberi impak negatif terhadap kesihatan mental. Malah ia turut menjejaskan kesihatan fizikal dan sosial individu di samping menurunkan fungsi kognitif warga emas.
Apa yang lebih membimbangkan, kesepian tidak dirawat boleh merendahkan kualiti kesejahteraan hidup warga emas sehingga mereka mempunyai idea membunuh diri.
Pandemik meningkatkan rasa itu malah kesepian menjadi lebih kritikal apabila mereka terdedah kepada pengurangan interaksi rutin secara drastik dalam jangka masa lama, kehilangan hubungan sosial dan peranan sosial.
Kajian di United Kingdom mendapati, lebih satu per empat daripada responden mempunyai skor kesepian tinggi di awal pandemik melanda.
Kekurangan interaksi sosial menyebabkan tekanan jangka panjang dan penurunan kesejahteraan emosi terutamanya dalam kalangan mereka dengan akses kepada teknologi dan sumber platform digital terhad.
Covid-19 sebetulnya memberi kesan jangka panjang terhadap individu berikutan tahap kemurungan dan kebimbangan kian tinggi. Lebih-lebih lagi situasi dialami itu (perintah kawalan) adalah pertama kali dilalui.
Kajian lain turut mendapati warga emas tinggal keseorangan mengalami kesepian pada tahap tinggi dengan simptom depresi dan anxiety di paras sederhana kepada tinggi.
Kuarantin di rumah bermanfaat untuk menjaga keselamatan dan mengurangkan penularan wabak tetapi ia memberi kesan negatif kepada warga emas apabila aktiviti fizikal berkurangan serta mendorong kepada penurunan kesejahteraan fizikal.
JANGKA PANJANG
Tinggal di rumah terlalu lama membawa kepada gaya hidup kurang aktif seperti menghabiskan lebih banyak masa menonton televisyen dan terlibat dalam tingkah laku tidak sihat seperti makan berlebihan, tidur lewat, tidak mendapat tidur cukup, bahkan meningkatkan penggunaan tembakau dan alkohol.
Antara kaedah untuk mengatasi kesepian dalam kalangan warga emas semasa pandemik adalah warga emas perlu meneruskan aktiviti seharian seperti bersenam, mengambil pemakanan seimbang dan tidur yang cukup.
Namun, mereka perlu mengutamakan sikap kendiri dalam melakukan aktiviti seharian. Bagi mereka yang kerap melakukan aktiviti riadah di luar rumah, mereka perlu modifikasi aktiviti mereka,misalnya, jika kerap berbasikal atau berjoging, mereka boleh menukarkannya kepada berbasikal statik di dalam rumah.
Ubah kaedah perhubungan
Warga emas perlu mengubah kaedah perhubungan secara bersemuka dengan berhubung melalui telefon dan penghantaran emel. Aktiviti berkumpulan juga dapat dilakukan dengan membuat telekonferen dengan beberapa orang kawan atau kumpulan mereka.
Justeru, mereka dapat mengekalkan penjarakan fizikal dan pada yang sama masih mengekalkan silaturahim. Bagi aktiviti berkumpulan, warga emas dalam kelab-kelab perlu lebih mengiatkan diri dalam perjumpaan dalam talian atau secara maya untuk mengurangkan rasa sepi warga emas.
Penggunaan teknologi dan platform digital termasuk penggunaan talian, Internet, android dan penggunaan media sosial memberi kesan dalam penurunan tahap kesepian dalam kalangan warga emas.
Aktiviti-aktiviti atas talian seperti permainan video, perbincangan media sosial dapat mengisi masa lapang warga emas selain daripada meningkatkan ilmu pengetahuan.
Kajian lalu mendapati alat peranti seperti telefon pintar dapat membantu memerangi kesunyian dalam kalangan warga emas terutamanya ketika waktu mencabar ini.
Dalam pada itu, anggota kesihatan perlu lebih peka dalam mengenal pasti tanda-tanda dan simptom kesepian dalam kalangan warga emas semasa mereka mendapatkan rawatan di klinik melalui pengambilan sejarah dan mendengar dengan teliti aduan warga emas tentang masalah kesepian. Penyaringan awal dalam kalangan warga emas amat penting dalam mengenalpasti kesepian.
Memperkenalkan saluran befrienders kepada warga emas yang mengalami kesepian, depresi atau mempunyai masalah dalam kesihatan mental. Melalui saluran ini, warga emas memperolehi sokongan emosi bagi menstabilkan kesihatan mental mereka selain daripada mendapatkan rawatan medikal.
Warga emas boleh menghubungi befrienders melalui 603-767 2929 atau email kepada [email protected].
Peranan anak-anak yang tinggal berjauhan perlu meneruskan perhubungan secara maya dan telefon dengan warga emas untuk mengurangkan perasaan sepi mereka.
Melalui hubungan secara maya ini juga, anak-anak dapat mengetahui keadaan kesihatan ibu bapa. Beberapa kajian menyatakan tahap kesepian warga emas dapat dikurangkan dengan panggilan telefon anak-anak.
Semasa pandemik ini, anak-anak yang tinggal bersama warga emas harus menyediakan barang keperluan dan bekalan ubat mencukupi untuk warga emas. Mereka juga digalakkan membantu warga emas mematuhi janji temu rawatan, mendapatkan rawatansegera jika sakit dan memberi sokongan psikologi jika perlu.
Ahli keluarga yang tinggal bersama warga emas perlu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, menggunakan tisu apabila batuk dan bersin, memakai penutup muka dan hidung jika bergejala serta mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
Oleh itu, adalah jelas pandemik ini memberi ancaman kepada kesejahteraan sosial dan fizikal dalam kalangan warga emas. Warga emas dengan kesepian dan tidak mempunyai sokongan moral di rumah menghadapi lebih banyak cabaran.
Kesepian dalam kalangan warga emas semakin meningkat akibat mematuhi kaedah pencegahan penularan pandemik Covid-19. Namun peningkatan tahap kesepian masih boleh dikawal dengan melakukan modifikasi cara hidup dan menerima penggunaan teknologi terkini dalam kehidupan seharian.
——————————————
Penulis ialah Timbalan Ketua Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia