MUSIM perayaan hujung tahun semakin hangat dirasai. Memeriahkan suasana, jenama antarabangsa, Coach hadir dengan kempen terbaharu menerusi tagline Holiday Is Where You Find It.
Ia meletakkan sudut pandang kesederhanaan dalam musim perayaan kali ini.
Menariknya, kempen kali ini memaparkan anak Melayu pertama dan selebriti terkemuka antarabangsa, Yuna Zarai antara wajah pilihan Coach untuk menjayakan kempen berkenaan.
Ia sekali gus menyaksikan penyanyi dan komposer ini berada sebaris dengan selebriti antarabangsa lain yang turut terlibat menyertai kempen itu.
Yuna berganding dengan nama besar antaranya Jennifer Lopez, Michael B. Jordan termasuk duta Coach, Kiko Mizuhara, Jeremy Lin, Yang Zi serta Camila Morrone, Megan Thee Stallion, Quincy dan Ramla Ali.
Menerusi koleksi tas tangan terbaharu yang diperkenalkan, jenama melalui kempen itu ialah suntikan nilai positif dalam kesederhanaan perayaan, dalam masa sama mengangkat tradisi kebersamaan dengan insan tersayang.
KEKELUARGAAN
Elemen kekeluargaan turut disuntik dengan kempen itu dengan memaparkan ibu Jennifer Lopez, Guadelupe Lopez termasuk anak-anaknya, Emme dan Max Muniz.
Jordan pula dipaparkan merai pesta Kwanzaa bersama orang tuanya, Michael A. Jordan dan Donna Jordan selain adiknya, Khalid dan Jamila Jordan-Theus.
Menjayakan matlamat berkenaan, jenama Coach turut melancarkan siri rakaman video kempen melibatkan nama-nama besar itu. Ia bakal dimulakan oleh Michael Jordan diikuti Yuna dan lain-lain.
Selain beg tangan, ada dalam koleksi ini ialah aksesori untuk lelaki.
Koleksi terbaharu ini dijangka berada di pasaran pertengahan bulan ini.