KUALA LUMPUR – Pengurus kepada Nabila Razali tidak menolak ada kemungkinan untuk penyanyi itu kembali beraksi pada pentas separuh akhir Muzik-Muzik (SAMM35).
Bagaimanapun menurut Ash atau nama sebenarnya, Mohd. Asrul Abdul Talib semuanya bergantung kepada tahap kesihatan Nabila sendiri.
“Memang Nabila ingin menyanyikan sendiri lagu Peluang Kedua di pentas SAMM35. Namun semuanya bergantung kepada tahap kesihatan dan keputusan pihak TV3 sendiri.
“Keputusan untuk menarik diri juga dibuat atas faktor kesihatan dan dinasihatkan sendiri doktor dan guru vokal Datuk Syafinaz Selamat,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Nabila terpaksa menarik diri untuk beraksi pada pertandingan itu kerana berdepan dengan masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.
Mengenai ada yang melihat penangguhan SAMM35 seperti memberi ‘peluang kedua’ buat Nabila menyanyikan lagunya, kata Ash dia yakin setiap yang berlaku ada hikmah tersendiri.
“Memang saya ada membaca komen netizen yang melihat ini sebagai peluang untuk Nabila menyanyikan sendiri lagunya. Saya yakin apa yang berlaku pasti ada sebabnya.
“Cuma buat masa ini Nabila masih berada di rumah untuk proses penyembuhan. Namun siapa tahu apa yang dinginkan peminat itu akan menjadi kenyataan,” kongsinya.
Sementara itu, penangguhan SAMM35 dibuat selepas penyanyi, Alif Satar disahkan positif Covid-19. Alif adalah salah seorang peserta yang membuat persembahan pada episod pertama program itu pada Jumaat lalu