BAGI penggemar muzik berat tempatan, Narsamum bukanlah nama asing dalam kamus underground. Kumpulan berasal dari Johor yang dianggotai oleh Mamak (vocal), Fauzi (drum), Topex (gitar) dan Atta (bass) ditubuhkan pada 1990 ini terlebih dahulu menggunakan nama Blaspherion, namun terpaksa ditukar kerana nama yang sama turut dipakai oleh sebuah kumpulan yang bertapak di Belgium.
Untuk membuktikan kewujudan mereka bukan sekadar picisan dan pelengkap muzik bawah tanah, maka pada 1993, kumpulan ini mengeluarkan demo pertama mereka berjudul Blasphemy… Revenge… Reincarnation. Tidak sekadar hadir dengan naskah pengenalan, kumpulan ini turut mengukir sejarah tersendiri apabila menjadi antara kumpulan underground terawal dari Johor yang berjaya melahirkan demo.
Mendapat jolokan ‘Dewa Death Metal Selatan’, kewujudan Narsamum seawalnya dihidu oleh Muzik Box Production, akhirnya sebuah album mini berjudul Dream Of Death dihasilkan pada tahun 2000. Dan yang lebih membanggakan kumpulan ini turut diberi peluang sebagai pembuka tirai konsert Napalm Death yang diadakan di Kuala Lumpur pada 1 April 2001.
Sekian lama membentuk jenama sendiri, Narsamum tampil dengan album studio penuh berjudul Black Dying Sun sekitar Jun lalu. Meskipun negara dilanda Pandemik Covid-19, rilisan yang dicetak sebanyak 500 keping berjaya dijual habis dalam tempoh tiga minggu. Ini berita baik buat sebuah kumpulan underground yang jarang diberikan publisiti oleh media arus perdana.
Menurut pemain drum Narsamaum, Fauzi, rilisan yang dikeluarkan ini bukanlah bertujuan untuk memperkenalkan naskah terbaharu, tetapi lebih kepada sebuah discography lengkap yang mengabungkan rilisan terdahulu dan terkini daripada mereka.
Album yang didatangkan dalam format digipack ini membariskan 10 lagu daripada album terkini Black Dying Sun, empat lagu daripada EP Dream Of Death dan tiga lagu daripada demo/reh Blasphemy… Revenge… Reincarnation. Apa yang menarik ia turut tampil dengan penghasilan kulit album baharu serta booklet lengkap mengenai sejarah kumpulan ini.
Narsamum juga menafikan ini adalah salah satu strategi pemasaran mereka, malah berinterprestasi naskah ini lebih merupakan hadiah kepada peminat yang selama ini banyak menyokong perjuangan muzik Narsamum
Narsamum turut terlibat dalam beberapa siri kompilasi yang dikeluarkan beberapa label tempatan, antaranya, Panggilan Pulau Puaka 2 (Psychic Scream 1999), Sengatan Selatan (Muzik Box Production 2002), Metalik Klinik Asia (Rotorcops 2003) dan Tribute To Cromok (EMI 2007). – MINGGUAN MALAYSIA