KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nabila Razali terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM35) atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.
Dalam satu kenyataan, pengurusnya, Ash berkata, keputusan itu dibuat Keputusan ini dibuat atas nasihat doktor, guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat dan juga komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini dan MFMF.
“Pelbagai usaha rawatan sudah dilakukan termasuk khidmat doktor pakar namun berehat dalam jangka masa yang panjang adalah jalan terbaik.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas SFMM antara yang menjadi impian beliau sebagai penyanyi.
“Dia sudah menjalani latihan vokal sejak September lalu dengan Datuk Syafinaz sebagai persiapan awal.
“Namun masalah ini dikesan sejak minggu lalu dan menjadi semakin teruk,” kata kenyataan itu.
Nabila sepatutnya menyanyikan lagu ini pada malam Ahad, iaitu hari terakhir penganjuran SFMM.
Dalam pada itu, pihak pengurusan masih mencari pengganti terbaik bagi menyanyikan lagu tersebut.
“Pihak kami masih mengusahakan siapa pengganti terbaik untuk lagu ini. Sebarang perkembangan mengenainya akan diberitahu kemudian.
“Pihak produksi juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya.