Menjenguk hidup Reza Salleh melalui Years And Days - Utusan Malaysia

Menjenguk hidup Reza Salleh melalui Years And Days

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA saya mula meneroka muzik baharu tempatan kira-kira 12 tahun lalu, tidak ramai penyanyi-pencipta yang menarik perhatian saya.

Kalau boleh diingat pun, hanya beberapa nama seperti Yuna dan Guba. Namun, saya masih ingat pada seorang penyanyi-pencipta yang saya cukup suka suaranya, iaitu Reza Salleh dengan lagunya, Kasih.

Sekian lama tidak mengeluarkan apa-apa produk, akhirnya Reza muncul dengan EP terbaharu, Years And Days. Saya berpeluang mendengar lima lagu dalam EP itu dan saya sukakannya.

Berbanding album 16 lagunya, Realize yang dipasarkan 10 tahun lalu, ada kelainan dibawa Reza melalui Years And Days. Lagu-lagunya kini lebih intim dan peribadi.

Lagu-lagu itu seakan membawa kita bersama dalam satu lawatan sambil belajar ke dalam hidupnya tetapi tidak dibenarkan masuk. Sekadar jenguk-jenguk dari tingkap, dijamu secawan teh o panas lalu pulang.

Selepas pulang, Reza pula yang masuk dalam minda kita. Ada misteri-misteri yang minta dirungkai.

Dari segi muzik, lagu-lagu kali ini lebih minimal dan menenangkan. Tidaklah hanya bergantung kepada satu instrumen, tetapi bunyian yang disajikan sengaja tidak dipadatkan. Tidak kurang dan tidak pula berlebih.

Untuk menikmati EP ini sepenuhnya, anda perlu menghayati juga liriknya. Pelbagai hal disentuh secara bersahaja dan jujur – renungan tentang perhubungan, kerinduan terhadap kawan, pengabdian kepada Tuhan, semuanya teradun dalam lima lagu yang dimuatkan dalam EP itu.

Lagu yang dijadikan single pertama EP ini, The Morning Hours bagi saya sebuah lagu nasyid. Tidak pasti jika ini yang dimaksudkan Reza ketika menulis, tetapi saya membacanya dengan renungan keagamaan.

Years And Days yang dinyanyikan bersama Anna pula sangat intim. Ia menggali masuk ke dalam kisah satu perhubungan yang sudah melepasi usia matang. Cuba memahami makna meraikan ketidaksempurnaan.

Cuma perubahan tempo pada rangkap kedua terakhir agak mengganggu. Saya tidak melihat ia menambah nilai pada lagu tersebut.

Kegemaran saya pula adalah Sebati. Mungkin kerana pengalaman kehilangan tiga rakan baik buat saya mudah terhubung pada lagu ini.

Saya melihat lagu ini sebagai luahan kerinduan kepada teman yang sudah tiada. Kerinduan itu kadang kala buat kita terbayang, jika dia masih hidup bagaimanalah keadaannya ketika ini. Lalu kita mencipta dialog halusinasi bersama dia yang telah tiada.

Dua lagi lagu anda boleh teroka sendiri. EP Years And Days boleh dibeli secara digital atau fizikal di rezasalleh.bandcamp.com.

Salinan fizikalnya akan hadir dalam bentuk cakera padat, kod muat turun digital, buku lirik kecil, pelekat dan pembeli 500 salinan pertama turut menerima gambar polaroid yang diambil Reza. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya