KUALA LUMPUR – Empat penyanyi, Tomok, Black, Hazama dan Akim bakal bergabung suara menggegarkan pentas Istana Budaya pada 11 dan 12 Disember depan dalam Konsert 4G’s.
Dianjurkan oleh Belbis Sdn. Bhd, konsert itu bakal menjadi antara persembahan berskala besar pertama dijayakan di Istana Budaya selepas negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
“Idea menggabungkan empat atau tiga vokalis dalam sesebuah konsert memang tidak asing, tetapi repertoirnya masih fokus terhadap persembahan solo setiap artis, cuma ada segmen duet beramai-ramai. Itu pun tidak banyak.
“Untuk 4G’s, konsepnya lebih terhadap penyatuan keempat-empat penyanyi dalam setiap lagu, semacam quartet dengan keunikan karakter pada setiap penyanyi. Persembahan solo tetap ada, tetapi dalam segmen awal sahaja,” kata wakil penganjur.
Berpengalaman menganjurkan beberapa konsert Kris Dayanti dan M. Nasir, Belbis yakin pemilihan Black, Hazama, Tomok dan Akim untuk dua malam persembahan akan menjanjikan hiburan berbaloi dengan harga tiket yang dibayar penonton.
“Mereka ada banyak lagu popular dan setiap orang ada kelebihan vokal serta identiti muzik tersendiri. Untuk konsert nanti, kami hanya perlu memenuhkan 450 tempat duduk dalam Istana Budaya untuk setiap malam, dua malam persembahan.
Kalau mendapat sambutan memberangsangkan, kita tidak menolak kemungkinan konsert itu akan ditambah kepada satu malam lagi namun bergantung kepada keadaan dan perlu mengikuti SOP ketat yang telah ditetapkan,” katanya.
Malah, sempena konsert itu, keempat penyanyi yang juga sahabat baik itu akan melancarkan single pada awal Disember depan. Tiket boleh dibeli melalui Airasiaredtix.