PASTINYA isu royalti menjadi buah mulut pemain industri muzik tanah air. Mana tidaknya, isu royalti bukan baru untuk diperdebatkan. Kalau isu itu adalah seorang anak kecil, mungkin sudah sedia mengambil segulung diploma.
Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis bagi memulakan siasatan berhubung isu dana kutipan royalti hak cipta lagu, ramai yang panas punggung.
Bukan mahu menuduh atau menimbulkan spekulasi, namun seharusnya isu royalti yang selama ini menjadi duri dalam daging industri sudah lama ‘dikeluarkan’. Akhirnya satu tindakan diambil.
Antara pejabat diserbu adalah Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) serta Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).
Serbuan itu susulan desakan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez yang mahu Presiden RPM, Datuk Sheila Majid meletakkan jawatan di atas ketidakkeupayaan beliau menguruskan hal royalti artis.
Rata-rata pemain industri senior atau junior memang menanti-nanti kemelut royalti ini dapat diselesaikan hingga ke akar umbi. Bukan sekadar omong kosong, kini segalanya di bahu SPRM.
Freddie pun dalam kenyataannya berterima kasih kepada SPRM kerana segera bertindak membanteras kemelut dana kutipan royalti hak cipta lagu yang menghantui komposer, penyanyi dan pemain industri sejak sekian lama.
Malah, setakat ini, baik RPM dan PPM, keduanya turut memberi kerjasama penuh dengan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan. Tiada apa yang disembunyikan. Semoga isu ini dapat diselesaikan segera.
Harap-harap tahun depan tak adalah cerita “Mana duit royalti saya?” Menjadi tajuk utama kan? Kesian tau!