PERANGAI artis diva ini memang selalu singgah di telinga Poklip. Malah, itu adalah soalan yang paling kerap Poklip dapat bila bertemu rakan dan saudara mara.
Mentang-mentang kita ini wartawan hiburan, laju sahaja soalan siapa paling diva? Betul ke si polan ini perangai macam ini? Betul ke dia bercinta dengan dia? Macam-macamlah!
Tapi Poklip sebenarnya jarang hendak bercerita tentang kerja bila bersama rakan dan keluarga. Penatlah. Dekat pejabat cerita artis takkan balik rumah benda sama juga hendak dibualkan.
Cuma teringat pula Poklip dengan perangai seorang artis yang boleh tahan divanya. Bukan calang-calang ya. Sakit hati orang yang bekerja dengan si polan itu. Harap popular tapi perangai hampeh.
Tetapi itulah manusia bila populariti mula memeluk diri. Makin lama makin berperangai diva. Pandang orang sebelah mata. Dia lupa agaknya, orang-orang ini yang satu ketika dahulu sama-sama susah dengan dia.
Kisahnya, ada seorang pereka fesyen ini sentap bila artis popular itu berlagak dan berperangai diva. Mana tidaknya, artis itu tanpa santun meminta pereka fesyen itu memakaikan stokin dan kasut untuknya.
Wah! Kau ingat gaji pereka itu kau bayar ke? Bukan main ek. Sudahlah menyuruh itu ini, ucapan terima kasih pun entah mana hilang. Apa punya perangai ek.
Dakwa pereka itu, dia tidak pernah memakaikan kasut untuk mana-mana artis tidak kira sepopular mana pun. Namun, dia sedih bila diperlakukan begitu. Nasib badan.
Harapnya artis itu sedar diri dan berhentilah jadi seorang yang berlagak.
Ingat, dunia ini berputar dik, macam roda. Tunggulah saat kamu di bawah (bukan doa ya), baru kenal erti membumi.