KUALA LUMPUR – Pengurus kepada Alif Satar, Adlina Abu Bakar memaklumkan penyanyi itu tidak menunjukkan sebarang gejala walaupun disahkan positif Covid-19.
Katanya, Alif pada mulanya membuat ujian saringan selepas difahamkan sepupunya disahkah positif Covid-19.
“Alif memang tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga hari dia disahkan positif Covid-19. Kami bertemu dengan individu yang positif itu pada malam Selasa minggu lepas.
“Jadi bila sepupu Alif memberitahu dia positif, jadi Alif atas kapasiti sendiri ke hospital membuat ujian saringan. Ketika dimaklumkan positif Alif berada di Melaka untuk penggambaran drama,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Berkongsi keadaan emosi Alif, kata Adlina ketika ini artis serba boleh itu berada dalam keadaan stabil.
“Alif okey sahaja, memang dia bersyukur sebab berada di hospital ketika ini memandangkan dapat pemantauan doktor.
“Cuma dia berharap agar mereka di luar sana terus mendoakan tahap kesihatan agar segera pulih,” katanya.
Sementara itu Adlina turut memberitahu buat masa ini keluarga Alif masih berada di Kuala Lumpur dan menunggu keputusan ujian saringan.
Manakala Alif pula akan terus berada di sebuah pusat perubatan di Melaka untuk proses kuarantin.