MENJADI perhatian minggu ini tentunya perkongsian Alif Satar mengenai keadaan dirinya yang disahkan positif Covid-19. Selepas beberapa hari, Alif dalam satu perkongsian baru-baru ini mengakui tidak mengalami gejala teruk selain hanya kehilangan deria bau.
Bakal menghabiskan waktu di hospital selama tempoh kuarantin, penyanyi dan pelakon ini bersyukur mendapat perhatian yang baik daripada kakitangan hospital.
Akui sukar berjauhan dengan keluarga dalam tempoh ini, namun apa yang paling melegakan Alif bagaimana anak-anak dan isterinya bebas daripada dijangkiti pandemik ini. Malah ketika ini juga ibu dan bapanya juga sudah dibenarkan keluar hospital.
Selain itu, dalam menerima komen serta kata-kata semangat daripada peminatnya, Alif dalam masa sama turut berkongsi aktiviti hariannya dalam laman sosial.
Sentiasa positif dalam melalui tempoh ini, Alif dilihat menjadi sumber semangat buat mereka yang turut berada dalam situasi sama seperti dirinya.
Namun dalam masa sama artis serba boleh ini juga menjadi sasaran netizen yang mahu mencari kesalahan dirinya. Bagaimanapun bagi Alif, dia lebih rela untuk tidak terlalu memikirkan keadaan itu. Bukan semua orang faham kan? Cepat sembuh Alif!