Usaha membanteras liberalisme - Utusan Malaysia

Usaha membanteras liberalisme

Ahli kumpulan gay, lesbian dan transgender (LGBT) di Lubnan membuat demonstrasi bagi mempertahankan hak kumpulan itu yang sebahagiannya adalah antara gerakan yang didasari oleh gerakan liberalisme agama. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Dr. Mohd. Hasrul Shuhari

Menurut Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, liberalisme bermaksud suatu aliran pemikiran yang memberi kebebasan mutlak kepada individu dalam menafsirkan ajaran Islam tanpa terikat dengan dasar dan sumber ajaran Islam yang disepakati oleh ulama muktabar.

Malaysia memfatwakan aliran pemikiran liberal sebagai ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam. Ia diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 hingga 27 Julai 2006.

Sebulan sebelum itu, Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah bersidang pada 27-28 Jun 2006 dan mewartakan di Negeri Sabah bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sesat dan menyesatkan serta boleh membawa seseorang itu terkeluar dari agama Islam.

Kemudian ia dituruti oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 12 September 2006 yang bersetuju menerima pakai keputusan fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bahawa aliran pemikiran liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Keputusan yang sama diambil oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada 25 Mac 2013.

Pada 31 Julai 2014, Selangor mewartakan Fatwa Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada Islam.

Dalam fatwa tersebut, dinyatakan bahawa mana-mana bahan terbitan yang berunsur fahaman ini hendaklah diharamkan dan boleh dirampas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial fahaman berkenaan dan mana-mana individu yang terlibat hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

Situasi semasa dilaporkan bahawa fahaman ini berkembang agresif dalam media sosial hasil risikan polis di Johor, Lembah Klang dan Pulau Pinang. Selain media sosial, fahaman liberal semakin agresif menyebarkan dakyah mereka dengan menyasarkan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Penyelewengan akidah

Perkara menyeleweng berkaitan akidah yang perlu didedahkan kepada masyarakat antaranya adalah berpegang kepada konsep Pluralisme yang merupakan pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal.

Menurut mereka, semua agama adalah sama tarafnya. Ini bercanggah dengan firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam… (ali-‘Imran: 19)

Fahaman ini juga beranggapan akal manusia adalah wahyu. Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu; wahyu yang bertulis iaitu al-Quran dan ia adalah teks semata-mata; dan wahyu tidak bertulis iaitu akal manusia yang mentafsir teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks dan zaman.

Fahaman ini mengulangi kesilapan mazhab klasik dalam sejarah Islam iaitu muktazilah yang sangat mengutamakan akal berbanding wahyu. Mazhab ini berjaya ditangani oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang bijak menyusun secara sistematik penggunaan akal dan wahyu secara seimbang terutamanya ilmuwan aliran al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah.

Fahaman ini mendakwa al-Quran diresapi budaya Arab. Mereka mendakwa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi sebaliknya ia hanyalah mesej budaya Arab. Dakwaan ini dapat ditangani jika masyarakat faham realiti bagaimana wahyu turun dan bagaimana penulisan hadis pada zaman Nabi SAW.

Beberapa tindakan pencegahan fahaman ini telah dilaksanakan. Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, pada 2014 hingga 2019, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melaksanakan 582 aktiviti melibatkan sesi penjelasan, seminar, konvensyen, risikan dan siasatan. Pemantauan media sosial dan penerbitan buku berkenaan fahaman ini juga dilaksanakan.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, keadaan masih terkawal namun pemantauan tetap berterusan. Johor juga mewujudkan Jabatan Briged ASWJ yang bertujuan memperkukuhkan fahaman tersebut bermula Januari 2021.

Di samping itu, pemerkasaan bidang kuasa penghukuman Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355 juga perlu diberi perhatian.

Setakat yang berjaya dibentangkan di Parlimen yang perlu disokong majoriti ahli parlimen kelak ialah; (a) daripada penjara maksimum tiga tahun kepada penjara maksimum 30 tahun; (b) denda tidak melebihi RM5,000 kepada denda maksimum RM100,000 (c) dan sebatan maksimum enam kali kepada sebatan tidak melebihi 100 kali.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya