NEGARA, bahkan satu dunia sedang bertarung dalam peperangan menyingkirkan Covid-19 dalam diari hidup. Masing-masing punya kepayahan sendiri sepanjang pandemik ini berlaku. Ada yang kehilangan kerja, terpaksa tutup perniagaan dan bermacam-macam lagi cerita derita.
Tidak terkecuali pekerja industri hiburan. Rata-rata anak seni meluahkan rasa sedih, kecewa dan pasrah dengan ujian yang sedang dihadapi. Poklip turut bersimpati dengan nasib yang menimpa.
Pun begitu, kita perlu sama-sama dalam ‘memerangi’ pandemik ini. #KitajagaKita. Kita harus mula memikirkan cara lain untuk tambah pendapatan. Poklip lihat, ramai selebriti sudah mula berniaga di kala pandemik ini berlaku.
Buang semua rasa malu. Gunakan status sebagai selebriti itu sebagai antara modus operandi mempromosikan produk masing-masing. Biar bermula kecil asalkan ada peningkatan dan kemajuan.
Malah, persatuan-persatuan anak seni juga perlu proaktif dan mula fikir jalan keluar untuk anak seni mencari rezeki. Jangan sekadar memberi sumbangan yang mungkin boleh bertahan sekejap cuma.
Tidak salah, tapi bukankah lebih baik jika kita memberi pancing dan umpan berbanding terus memberi ikan dan sekampit beras? Apa yang penting adalah usaha! Jangan hirau kata orang, tak ke mana pun nanti!