Oleh Dr. Adi Ainurzaman Jamaludin
Reka bentuk struktur bangunan, reka bentuk perkhidmatan dan tingkah laku individu adalah tiga faktor yang saling berkait bagi mencapai penggunaan tenaga yang efisien.
Reka bentuk struktur bangunan dan perkhidmatan merupakan satu pendekatan yang menyeluruh memandangkan penggunaan tenaga dapat dirancang dengan lebih teliti pada peringkat awal.
Lebih-lebih lagi dengan penerapan reka bentuk pasif seperti pencahayaan dan pengudaraan semula jadi serta pengintegrasian landskap hijau. Namun, ia terhad kepada bangunan yang masih dalam proses perancangan pembinaan.
Kos yang tinggi diperlukan pada bangunan yang telah siap dibina bagi tujuan kerja pemasangan dan pengubahsuaian. Ironinya, kejayaan reka bentuk struktur bangunan dan perkhidmatan amat bergantung kepada tingkah laku serta keperluan individu yang kerap berubah mengikut peredaran masa.
Mengambil satu contoh telefon bimbit. Ia bukanlah satu keperluan pada 20 tahun yang lepas dan dengan sekali pengecasan membolehkan ia bertahan selama beberapa hari. Kini, globalisasi merubah corak kehidupan dengan kepintaran telefon bimbit mendekatkan dunia di hujung jari. Keperluan untuk sentiasa berhubung dan kecanggihan dengan kepelbagaian fungsi memerlukan pengecasan peranti dilakukan setiap hari.
Merujuk kepada tingkah laku manusia, ia adalah sesuatu yang begitu subjektif dan bukanlah mudah untuk diselia serta dikawal rapi. Namun, kejayaan memupuk perilaku positif merupakan satu pendekatan yang tidak melibatkan kos yang tinggi.
Sementelahan itu, berupaya memberi kesan jangka masa panjang terutamanya dengan pembentukan budaya penjimatan tenaga.
Pembudayaan menjimatkan tenaga merupakan satu keadaan yang menjelaskan bagaimana individu memilih untuk menjimatkan tenaga bukan atas saranan mahupun paksaan.
Sebaliknya, ia adalah kehendak diri sendiri atas rasa tanggungjawab dan tidak meletakkan kewajipan penjimatan tenaga di atas bahu orang lain. Melalui amalan ini, dianggarkan 30 peratus penjimatan tenaga dapat diperoleh di samping menyemai perasaan dan semangat kekitaan dalam kalangan komuniti.
Secara asasnya, penjimatan tenaga merupakan langkah pertama yang perlu diambil dan diberi perhatian sewajarnya sebelum disusuli dengan peningkatan tahap kecekapan tenaga. Penjimatan tenaga adalah mengurangkan penggunaan tenaga melalui penyesuaian perilaku dan amalan harian. Peningkatan tahap kecekapan pula adalah pengaplikasian teknologi jimat tenaga untuk melaksanakan fungsi dan peranan yang sama.
Penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi menggantikan lampu kalimantang untuk menerangi sesuatu ruang adalah contoh peningkatan tahap kecekapan tenaga.
Ia mampu menyumbang kepada pengurangan jumlah penggunaan tenaga untuk jangka masa panjang walaupun terdapat peningkatan kos pembinaan berbanding reka bentuk konvensional. Namun, kekhilafan memilih peralatan cekap tenaga yang berkualiti tinggi dalam lambakan pasaran mengundang pembaziran tenaga tanpa disedari.
Penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam memenuhi keperluan tenaga merupakan langkah yang terakhir. Sama seperti peningkatan tahap kecekapan, penggunaan teknologi RE seperti panel suria bagi penjanaan tenaga turut melibatkan kos pemasangan yang tinggi dan memerlukan pertimbangan beberapa kriteria penting berkaitan perundangan serta reka bentuk struktur bangunan.
Secara relatifnya, penjimatan tenaga dilihat sebagai satu langkah mudah tanpa melibatkan kos yang tinggi dan dapat memberi kesan jangka masa panjang ke arah kehidupan yang lebih lestari.
Usaha penjimatan tenaga ini boleh dimulakan dengan melakukan audit tenaga. Ini bertujuan mengetahui corak penggunaan semasa dan keperluan sebenar tenaga bagi sesebuah struktur bangunan dalam menjalankan fungsi minimum.
Ini boleh dirujuk kepada Indeks Tenaga Bangunan iaitu pengiraan kegunaan tenaga berdasarkan kepada keluasan lantai bagi tempoh satu tahun.
Secara teori, keperluan minimum tenaga bagi bangunan kediaman adalah lebih rendah berbanding bangunan pejabat. Di Malaysia, purata penggunaan tenaga bangunan pejabat adalah dalam lingkungan 200 sehingga 250 kWh/m2/tahun dan jumlah yang disarankan bagi bangunan cekap tenaga adalah 135 kWh/m2/tahun.
Justeru, keperluan minimum tenaga bagi bangunan kediaman adalah antara 10 sehingga 25 kWh/m2/tahun. Setelah corak penggunaan semasa dan keperluan sebenar tenaga diketahui, matlamat dan strategi penjimatan tenaga dapat dirangka dengan lebih praktikal.
Antara langkah mudah penjimatan tenaga adalah dengan mematikan suis dan mencabut palam atau plag peranti yang tidak digunakan.
Kajian mendapati terdapat sesetengah peranti yang masih menggunakan tenaga apabila palam atau plag bersambung kepada soket elektrik walaupun suis telah dimatikan. Pengecas telefon bimbit, peranti rangkaian komputer dan internet, sistem audio visual seperti televisyen dan dekoder penyiaran, serta sistem penapisan air merupakan antara peranti yang dibiarkan terpasang meskipun di luar waktu penggunaan.
TidManfaatkan RE demi kelestarianak dinafikan, sesetengah peranti perlu sentiasa dihidupkan atas keperluan keselamatan.
Ini termasuklah peranti rangkaian internet yang bersambung kepada sistem pemantauan kamera litar tertutup. Namun, apakah perlu lain-lain peranti dibiarkan bersambung dan dihidupkan suis di kala penghuni tidur lena diulit mimpi indah atau ketika penghuni keluar meninggalkan rumah.
Mungkin agak sukar di peringkat awal untuk sentiasa memastikan keperluan sama ada menghidup atau mematikan suis dan seterusnya mencabut palam peranti.
Seterusnya adalah mengoptimumkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pencahayaan buatan dan sistem penyejukan mekanikal.
Ini dapat dicapai dengan mengenal pasti keperluan pencahayaan mengikut aktiviti pada setiap ruang dan keadaan.
Jika pendingin hawa perlu dihidupkan, suhu ditetapkan pada 24°C atau lebih tinggi.
Dalam masa yang sama, ruangan berkenaan perlu dipastikan tertutup dengan rapi untuk mengelakkan atmosfera dalaman yang disejukkan dari meresap keluar. Mod kawalan penyalaan automatik boleh digunakan bagi menghadkan penggunaan untuk satu tempoh tertentu. Sebaiknya, utamakan kipas angin yang lebih rendah penggunaan tenaga.
Penggunaan sebarang peranti elektrik perlulah dirancang dengan teliti. Aktiviti membasuh dan menggosok pakaian yang mungkin boleh dilakukan seminggu sekali berbanding setiap hari manakala dalam pemilikan peranti, sewajarnya keperluan diberi keutamaan berbanding kehendak.
Turut dipastikan kebolehan peranti dalam menjimatkan tenaga dan seiring dengan kapasiti yang diperlukan.
Peti sejuk haruslah berpadanan dengan ahli isi rumah dan saiz skrin televisyen bersesuaian dengan saiz ruang tamu. Selain itu, penyelenggaraan dan pembersihan berkala perlu dilakukan dalam memastikan peralatan elektrik dapat berfungsi secara optimum.
Manfaatkan RE demi kelestarian
Kehadiran teknologi tenaga boleh dibaharui (RE) mampu memastikan kelangsungan pembekalan tenaga di negara ini.
Kedudukan negara di garisan Khatulistiwa yang membolehkan penerimaan cahaya matahari yang konsisten dan jumlah taburan hujan yang tinggi bagi penjanaan tenaga suria dan hidro tidak memberi sebarang erti andai penggunaan melebihi penjanaan.
Ini diburukkan lagi dengan pembaziran tenaga yang secara langsung memberi implikasi yang besar terhadap alam sekitar.
Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada tenaga berasaskan fosil termasuklah minyak mentah, produk petroleum, gas asli dan arang batu.
Peningkatan taraf hidup memberi tekanan kepada permintaan tenaga. Agensi Tenaga Antarabangsa menjangka peningkatan sebanyak 2.2 kali ganda penggunaan tenaga di Asia pada tahun 2035, berbanding tahun 2008.
Penggunaan tenaga per kapita di Malaysia pada tahun 2016 adalah ketiga tertinggi di ASEAN iaitu mencecah 1.793 Mtoe/Million berbanding 0.395 Mtoe/Million pada tahun 1973.
Negara Brunei mendahului senarai dengan 3.325 Mtoe/Million diikuti Singapura sebanyak 3.289 Mtoe/Million pada tahun yang sama.
Isu berkaitan tenaga belum menemui titik noktah terutama berkaitan kelestarian sumber dalam memenuhi permintaan yang menunjukkan peningkatan yang sangat ketara.
Dr. Adi Ainurzaman Jamaludin, Pensyarah Kanan Program Sains Pengurusan Alam Sekitar Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya