KUALA LUMPUR- “Tidak, tiada apa-apa.”
Itu jawapan ringkas pengacara dan pelakon popular, Neelofa yang akhirnya menafikan desas desus hubungannya dengan pendakwah, Haris Ismail yang sebelum ini mencetuskan teka teki dalam kalangan peminat.
Neelofa, 31, berkata hubungannya dengan Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz hanya sekadar kawan dan pendakwah itu memang rapat dengan keluarga serta rakan-rakannya.
“Kami memang sudah kenal sejak tiga tahun lalu. Dia juga rapat dengan adik beradik dan sepupu saya kerana banyak mengadakan kelas agama dan mengaji bersama. Hubungan itu lebih dari sekadar bekerja sama.
“Sebab itu dia hadir ke majlis perkahwinan itu kerana adik saya, Aqief sendiri yang mengundangnya.
“Jadi kalau tanya saya, jawapannya tidak. Jangan risau, sekiranyasudah bertemu jodoh, saya akan bagitahu, “ jelasnya.
Neelofa ditemui ketika majlis pelancaran butik terbaharu Naelofar di salah sebuah pusat beli belah terkemuka, One Utama di sini hari ini.
Dalam pada itu, Neelofa juga tidak mahu isu baju sedondon yang berlaku digembar-gemburkan. Malah, dia juga tidak mahu bercakap lebih lanjut soal peribadi.
“Ada beberapa perkara yang tidak perlu saya beri justikasi atau kongsi. Boleh bawa kemudaratan. Saya mohon semua hormat dengan pendirian saya,” katanya.