PELAWAK, penyanyi dan pelaku seni jalanan hari ini tidak perlu lagi malu untuk menonjolkan bakat mereka di tempat awam. Sebaliknya mereka perlu yakin bahawa bakat dimiliki itu sangat istimewa dan berpotensi mencipta nama di masa depan.
Penyanyi lagu berunsur patriotik, Roy berkata, masyarakat hari ini semakin arif dan bijak mengiktiraf bakat seniman jalanan dengan menyamakan pelaku seni di peringkat antarabangsa.
“Dunia semakin global, apa saja bakat seni yang ada di luar negara turut dimiliki dalam negara. Namakan apa sahaja jenis bakat, seni halus atau sastera sekali pun orang kita ada.
“Tunjukkan sahaja bakat anda, tambah nilai dengan keunikan dan pamerkannya dengan penuh keyakinan. Pasti akan ada pihak yang membuka mata dengan kebolehan tersebut,” kata pemilik nama penuh Mohammad Rauzan Alwi ini.
Kecanggihan teknologi masa kini yang menampilkan aplikasi media sosial pelbagai menjadi platform awal untuk mengasah bakat sebelum berada di tempat awam.
Pendedahan awal itu membolehkan mereka menentukan hala tuju kreativiti untuk dipersembahkan, sekali gus membuka mata semua orang untuk mengiktiraf bakat yang dimiliki.
Penyanyi lagu Ratnaku ini menyuarakan pandangannya dalam Hotspot, sebuah program bual bicara terbitan Unit Hiburan TV Radio Televisyen (RTM) di TV Okey.
Program terbitan Abdul Rah’man bersama Faez Zainal itu mengutarakan dilema golongan seniman secara santai kepada penonton setiap Rabu. Program dihoskan Fikry Ibrahim itu juga konsisten dengan misi mengenengahkan info berkaitan isu semasa seniman jalanan.
Sokong
Pandangan Roy senada dengan Usop Kopratasa yang melihat perkembangan dunia seni semakin memberangsangkan sebelum dunia seniman jalanan atau buskers menjadi komersial seperti hari ini.
Kemunculan lebih ramai penyanyi jalanan menunjukkan masyarakat semakin berani untuk mengetahui reaksi orang ramai setiap kali membuat persembahan secara langsung.
Di situ mereka dapat menilai kemampuan diri sendiri dan menyuntik kelainan dalam persembahan untuk menarik lebih ramai respon daripada orang ramai.
“Kalau dulu seniman jalanan terpekik terlolong di tepi jalan dipandang sepi, dilabel sebagai orang gila tapi kini sebaliknya. Orang kita sudah tidak lagi dikecam dan dihina dengan kata-kata keji dek perbuatan sebegitu,” kata pemilik nama Mohd. Yusof Ahmad ini lagi.
Dalam soal perjuangan golongan seniman jalanan ini, Presiden Kelab Buskers Malaysia, Wady Hamdan sentiasa memberi sokongan untuk mengiktiraf golongan tersebut.
Menjaga kebajikan dan mencari peluang untuk mengetengahkan seniman jalanan antara misi kelab tersebut dalam memastikan nasib golongan berkenaan dibela.
“Persepsi seniman jalanan yang dulu mungkin dianggap sebagai ‘peminta sedekah’ kini sudah berubah. Kita semakin diterima, kalau buat persembahan dah tak ada yang menjauhi seperti di peringkat awal dahulu.
“Perubahan positif ini amat menyenangkan dan atas sebab itu kita berharap agar perjuangan seniman jalanan ini tidak berakhir. Kalau boleh kita mahu persembahan kita setaraf seniman jalanan di luar negara,” ujarnya.