Saya bukan bodoh... 10 peluang pun saya akan bagi - Bella - Utusan Malaysia

Saya bukan bodoh… 10 peluang pun saya akan bagi – Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah sebenarnya untuk wanita besi ini membuka cerita yang terbuku dalam hati. Dia membasahi tekaknya beberapa kali, menghela nafas panjang. Mungkin sebolehnya dia tidak mahu ingat segala yang berlaku.

Tatkala ini ramai yang mengecam, mengkritik dan melabel Bella Astillah, perempuan bodoh, buta cinta dan macam macam lagi, dia hanya tersenyum menelan duka. Tidak mahu dia melayan persepsi itu semua.

Kembali menyulam cinta yang pernah terputus benang dengan suami, Aliff Aziz, ibu kepada dua anak ini cuma mendambakan bahagia. Maka, dia berani ambil risiko melangkah kembali ke alam rumahtangga dengan suaminya.

Bukan bodoh atau terpaksa, namun dia tahu setiap manusia punya kesilapan. Begitu juga dengan Aliff. Siapa dia mahu menghukum atau terus membenci bapa kepada anak-anaknya. Itu tugas tuhan, bukan dia.

“Mungkin ketika itu, orang terkejut bila rujuk kembali dengan Aliff. Saya bagi peluang untuk dia belajar daripada kesilapan. Tetapi ramai yang tidak suka dan mula panggil saya bodoh, perempuan gila dan macam-macam.

“Siapa saya nak hukum dia? Ini kehidupan saya, semua ditanggung sendiri. Biarlah 10 peluang sekalipun saya bagi, risiko itu bahu ini yang tanggung beban. Apa pun kesilapan dia, saya yang terima buruk baik,” katanya membuka bicara.

Tegas dalam berbicara, dia sedar kita tidak akan mampu membandingkan kehidupan masing-masing. Percaturan tuhan itu unik. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik umat-Nya.

Mendedahkan ada rakan selebriti yang mahu dia mencari lelaki lain selain Aliff, anak kelahiran Sabah ini menolak mentah idea itu. Dia tidak akan mengibarkan panji putih kerana mengalah dengan Aliff.

“Kita tak boleh bandingkan hidup masing-masing. Ada yang cakap, dalam dunia ini ramai lagi lelaki baik, tetapi saya tanya diri sendiri, siapa boleh jamin kebahagian kita? Bukankah itu kerja Tuhan?

“Saya hanya mampu tawakal dan memohon agar Allah permudah usaha Aliff untuk menjadi suami dan bapa yang baik. Lain orang lain pendapat. Saya tak boleh paksa diri untuk lelaki lain.

“Mungkin dia bukan lelaki terbaik di mata orang lain, tetapi untuk saya, dia adalah suami dan bapa yang mampu pikul tanggungjawab itu. Setiap orang buat silap, asalkan dia mahu belajar daripada itu saya bersyukur,” kata penyanyi berusia 26 tahun ini.

Rujuk? Diam lebih baik

Pertama kali membuka mulut soal proses rujuk semula, Bella menjelaskan. semuanya berlaku begitu pantas. Pujukan Aliff memberi harapan dia mahu kembali memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Mulanya dia mahu sahaja memberitahu satu dunia yang mereka sudah kembali bersama. Namun atas saranan keluarga, dia dan Aliff ambil keputusan untuk menutup mulut merahsiakan sahaja perkara itu.

“Sebenarnya saya banyak kali ke Singapura selepas bercerai. Malah Aliff ada datang ke Malaysia untuk memujuk saya kembali bersamanya. Selepas berbincang dengan keluarga, keputusan terbaik adalah rujuk semula.

“Kami juga ada hadir ke pejabat agama untuk sesi kaunseling. Di situ kami sedar kesilapan masing-masing. Fikir masak-masak kerana ini bukan soal hati dan perasaan saya sendiri, perlu juga ambil kira tentang anak.

“Takkan setiap kali ke Singapura saya hendak muat naik gambar, beritahu semua. Lebih saya diamkan sahaja. Bila perut sudah memboyot, saya rasa tak perlu lagi sorok soal kami sudah rujuk semula,” kata penyanyi lagu Tenang ini.

Termenung sendiri seraya menggelengkan kepala, mulut Bella bagaikan terkunci seketika apabila ada pihak yang menfitnah dia mengandung tanpa ikatan perkahwinan. Baginya, mereka tidak tahu apa-apa kecuali memfitnah.

“Ingat saya dan keluarga tak ada agama? Tak tahu hukum hakam dan dosa? Bila sudah mengandung saya tidak boleh sorok lagi. Jadi saya mengaku sahaja kami sudah rujuk semula. Senang!

“Saya bukan tak ada akal untuk berfikir. ‘Salah’ saya cuma merahsiakan tentang rujuk. Itu sahaja. Sebab buat apa saya puaskan hati segelintir warganet? Peminat menyokong dan mendoakan yang terbaik.

“Saya pernah juga terfikir untuk beritahu sahaja semua orang tentang kami sudah rujuk semula. Tetapi atas nasihat dan permintaan keluarga, saya dan Aliff hanya diamkan dahulu,” katanya

‘Amaran’ Bella

Gelanggang soalan terus dibuka. Apa nasihat atau mungkin lebih sini amaran Bella kepada Aliff setelah dia kembali membuka hati? Apakah janji-janji suaminya itu tatkala memujuk dia rujuk kembali?

Mengukir senyuman manis, Bella menjelaskan tiada janji yang Aliff pahatkan. Hanya harapan untuk Bella jadi isteri yang sentiasa bersama di kala susah dan senang. Beri dia peluang akhir untuk berubah.

“Saya serahkan pada dia. Dia sudah 30 tahun usianya. Dia sudah rasa bagaimana dipijak, dihina dan diherdik seburuk-buruknya. Bagaimana rasanya bila sudah jatuh sejatuh-jatuhnya, dia kena ingat semua itu.

“Saya sebagai isteri hanya mampu doa dan sokong apa yang terdaya. Fikir anak-anak. Saya bagi peluang untuk buktikan dia mampu berubah. Kerja cari nafkah untuk anak-anak dan keluarga,” katanya.

Berbicara soal kerjaya, buat masa sekarang Bella tidak mahu terlalu mengejar segala tawaran. Dia juga sedang dalam proses merakam single baharu.

“Masa pantang hari itu pun ada banyak tawaran. Tetapi saya mahu fokus kepada anak-anak terlebih dahulu. Selepas ini baru saya kembali ke set penggambaran tetapi tidak untuk drama bersiri yang memerlukan komitmen tinggi.

“Susah nak cari material lagu baharu. Banyak kena kaji dan belajar tentang peredaran muzik. Saya tak mahu syok sendiri,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya