Pasti ramai yang takutkan haiwan eksotik seperti ular. Namun berbeza pula dengan minat anak muda ini yang menjadikan reptilia sebagai haiwan kesayangannya.
Lazimnya, ramai yang memilih membela kucing atau arnab sebagai haiwan peliharaan. Ini kerana haiwan itu amat mudah dijaga dan tidak berbahaya.
Lain pula bagi yang sukakan cabaran dan kelainan, mereka akan memilih memelihara haiwan seperti iguana, ular, buaya atau haiwan eksotik lain sebagai haiwan kesayangan mereka.
Bagi Mohammad Nor Khair, 27, minatnya kepada haiwan mula berputik sejak kecil.
Menurutnya, ketika masih kecil, dia akan mengejar ular jika melihat haiwan itu lalu di hadapannya.
Minatnya memelihara haiwan eksotik itu bermula sejak tujuh tahun lalu. Dia mencari dan membeli seekor ular jenis Punti dalam talian pada harga RM70.
“Ketika itu saya memang tiada ilmu pengetahuan cara mengendalikan ular. Tanpa diduga ular saya mengigit tangan dan menyebabkan tangan saya bengkak selama seminggu.
“Semasa membeli, penjual memang ada memberitahu ular itu berbisa sedikit tetapi saya langsung tidak trauma atau takut dengan peristiwa itu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Graduan Ijazah Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia juga pernah memiliki 30 ekor ular berlainan spesies seperti Corn Snake, Milk Snake, Hagnose Snake, Carpet Python, Ball Phyton, Bronzeback Snake dan King Snake.
Bukan itu sahaja, dia turut memiliki seekor iguana yang saiznya agak besar jika dilihat berhadapan dan juga seekor burung hantu menjadi pilihannya untuk pelihara serta beberapa haiwan eksotik yang lain.
“Walaupun harganya agak mahal, tetapi saya sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkannya,” tambahnya.
Setiap minggu, dia memperuntukkan RM200 untuk membeli makanan bagi menjamu selera kesemua haiwan peliharaannya. Duit bukan masalah baginya kerana dia sanggup membuat kerja sambilan bagi menampung keperluan haiwannya.
“Sebelum ini, saya pernah menjual seekor ular peliharaan kerana ada individu yang ingin membelinya tetapi akhirnya berasa sangat menyesal. Itulah kali pertama dan terakhir. Baharu sedar bahawa saya pelihara kerana minat dan bukan untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan,” ujarnya.
Tambah Mohammad Nor, pada peringkat awal, ayahnya menentang hobi tersebut namun dia meneruskan juga minatnya dan menjadikan bilik tidur sebagai tempat menyimpan haiwan peliharaan miliknya.
Namun, lama kelamaan ayahnya sendiri menyediakan satu bilik khas untuk beliau menyimpan haiwan-haiwan tersebut.
“Sejak ada bilik, koleksi saya semakin bertambah dan saya semakin teruja membela haiwan eksotik yang lain,” katanya.
Jelasnya apabila mempunyai minat, ia amat memerlukan usaha dan pengorbanan. Bagi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baharu, cubalah memelihara haiwan eksotik ini.
“Mungkin luaran kita nampak ia haiwan yang ganas tetapi percayalah haiwan ini sebenarnya manja dengan tuannya,” kata Mohammad Nor.