Keluarga menyebabkan wanita rasa terbeban apabila perlu bekerja dari rumah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Temubual ke atas wanita berkerjaya mendedahkan, bebanan itu dirasai lantaran perlu mengurus rumahtangga seperti biasa, seolah-olah bercuti sedangkan pada hakikatnya mereka bekerja.
Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Fariza Md. Sham berkata, bekerja dari rumah memerlukan sepenuh tumpuan pada tempoh bekerja, bukannya melakukan urusan rumah lain hingga boleh mengganggu tumpuan terhadap amanah majikan.
“Rutin harian sebagai seorang staf di pejabat, ibu dan isteri bertukar daripada kebiasaan. Situasi ini sangat mencabar kerana wanita bukan sahaja perlu penyesuaian tugas, tetapi memberikan persediaan daripada segi psikologi dan mental,” katanya ketika ditemui baru-baru ini mengulas mengenai impak kerja dari rumah kesan pandemik Covid-19.
Kajian impak Covid ke atas wanita tidak pernah dijalankan, sebaliknya sebelum ini penyelidikan diterbitkan banyak memberi tumpuan kepada perubatan dan epidemiologi wabak.
Malah peringkat awal penyelidikan mengenai kesan psikologi Covid-19 hanya terhad kepada kajian di negara China.
TIDAK SEDIA
Fariza yang memiliki kepakaran dalam Dakwah Remaja dan Psikologi Islam berkata, ketiadaan ruang kerja di rumah turut memberi tekanan pada wanita.
“Kadangkala dalam rumah pun tiada ruang untuk buat kerja. Norma baharu ini jelas memerlukan kekuatan mental, emosi dan spiritual dalam menghadapinya. Bukan sahaja dalam kalangan pekerja tetapi majikan dalam menilai prestasi kerja ‘anak buahnya’,” kata beliau.
Dalam konteks negara, apabila PKP diperkenalkan Mac 2020, anggota masyarakat termasuk wanita mengalami panik, bimbang, cemas dan stres berikutan situasi pergerakan dan aktiviti hidup seharian disekat.
“Dalam konteks Malaysia, sejak kes Covid-19 pertama dikesan pada 25 Januari sehingga kini, kajian dari aspek psikologi khusus untuk golongan wanita belum dilakukan secara meluas.
“Saya kira ia perlu untuk kita menilai bagaimana untuk membantu wanita sekiranya pandemik ini berterusan. Lebih-lebih lagi perintah kawalan kali ini adalah gelombang ketiga dilakukan dalam mengurangkan penyebaran Covid-19,” katanya.
Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, memberi ruang untuk wanita berfikir ke arah bekerja dari rumah dan melakukan penyesuaian diri ke arah situasi tersebut.
“Kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu memenuhi ‘lompang’ berkaitan kerja dari rumah dalam kalangan seluruh masyarakat.
“Saya melihat ia suatu keperluan mendesak, apatah lagi norma baharu ini saya kira akan berterusan untuk tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.