Mimi Fly atasi tempoh depresi - Utusan Malaysia

Mimi Fly atasi tempoh depresi

Lagu Hujan luahan hati Mimy Fly
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH selepas melalui episod perceraian menjadi antara permulaan buat dirinya berhadapan dengan masalah kesihatan mental. Selain depresi, apa yang dilalui penyanyi ini juga turut melibatkan gangguan kebimbangan melampau atau anxiety.

Berkongsi apa yang dilaluinya, bagi Mimi Fly, walaupun ada yang melihat itu sebagai waktu hitam buat dirinya, namun siapa sangka ada sinar berbeza buat dirinya kini.

“Bila kita berada dalam keadaan itu, bukanlah sesuatu yang kita sedar. Ini bukan sekolah yang memerlukan seseorang itu belajar dahulu baru faham apa yang dilaluinya.

“Bercakap soal ini saya melaluinya dahulu, sebab bila berada dalam keadaan itu sesiapa sahaja tidak akan menyedarinya. Selepas itu baru saya belajar untuk melepasinya,” kongsi wanita berusia 33 tahun ini.

Bercerita lanjut mengenai apa yang dilaluinya, kata Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, dalam tempoh itu dia bukan sahaja tidak menjadi dirinya malah turut berubah kelakuan.

“Saya suka naik angin selain tidak bermaya kerana mahu tidur sahaja. Jujurnya itu bukan diri saya, tetapi dalam tempoh itu saya cuba bangkit dan bertemu dengan pakar psikiatri.

“Namun tempoh setahun setengah berhadapan dengan keadaan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Malah saya juga yakin ramai orang, termasuklah golongan selebriti berdepan dengan kecelaruan keresahan (anxiety disorder).

“Saya belajar sebagai seorang manusia kadang kala kita perlu luahkan apa yang terpendam jangan simpan sendiri. Sebab kesannya adalah kepada perasaan sendiri,” kata penyanyi kelahiran Kota Kinabalu ini.

Berkongsi nasihat buat wanita yang mungkin sedang melalui tempoh hitam ini, kata Mimi, perkara utama yang diambil kira adalah tanggungjawab ke atas diri sendiri.

“Bagi mereka yang sedang melaluinya satu perkara yang perlu difahami apa yang sedang bermain dalam fikiran itu bukan identiti sebenar kita. Itu adalah masa lalu kita yang tidak akan mengubah apa-apa. Jangan sesekali dibawa perasaan itu.

“Ambil tanggungjawab kuatkan semangat untuk keluar daripada belenggu itu. Percayalah ada sinar yang lebih baik,” katanya yang sudah 12 tahun berada dalam industri.

Dulu suami kini kawan industri

Melihat perceraian yang dilaluinya sebagai titik perubahan dalam kehidupan kini. Bagi Mimi bukan soal punca cerai yang perlu dipertikaikan lagi tetapi kemampuan dirinya untuk kembali bangkit. Selain itu, Mimi juga mahu membantu wanita di luar sana melalui waktu sukar ini bersama.

“Keputusan untuk bercerai menjadi antara yang terbesar saya pernah buat dalam hidup saya. Sebab saya tidak pernah terfikir untuk melaluinya. Tetapi saya tetap bersyukur melihat apa yang dilalui ini juga menjadi titik permulaan baharu buat diri saya.

“Soal hubungan dengan bekas suami, saya anggap apa yang berlaku sebagai bukan jodoh kami. Tempoh sekarang saya dan dia masih bekerja dalam industri yang sama.

“Masing-masing juga mencari rezeki. Jadi sikap profesional adalah dasar hubungan kini,” Mimi sebelum ini berkahwin dengan Mohd. Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015 tetapi bercerai dua tahun kemudian.

Selesa dengan status solo kini, tambah Mimi, bukan soal trauma yang menjadi penghalang. Namun dalam keadaan ini, dia lebih senang untuk dia tergesa-gesa. Mahu menggantikan tempoh yang disiakan sebelum ini kata Mimi keluarga adalah keutamaan buat dirinya.

“Sebelum ini kerjaya saya diuruskan bekas suami, sebab itu bila bercerai saya bermula dari bawah. Kosong tiada apa-apa dan tempoh itu bukan mudah. Selepas tiga tahun melaluinya memang saya sangat hargai mereka di sekeliling saya kini.

“Terutama keluarga, fokus saya adalah untuk menjaga ibu saya. Selain mahu memberi lebih perhatian kepada keperluan diri dahulu.

“Memang ada yang mendekati tetapi soal kahwin bukanlah sesuatu yang boleh dibuat secara gopoh,” jelasnya.

Kongsi perasaan dalam Hujan

Hadir dengan single terbaharu berjudul Hujan, Mimi tidak berselindung memberi tahu apa yang dilaluinya sebelum ini terkandung dalam lagu baharunya ini.

Hujan adalah simbolik tentang apa yang saya lalui. Idea mencipta lagu ini juga hadir secara spontan. Melambangkan kedamaian dan ketenangan selain membawa kita untuk bermuhasabah diri.

Hujan juga ciptaan bersama Khairafik Khairudin dan lagu ini mengambil masa lima bulan untuk disiapkan. Saya juga sangat teruja apabila Hujan turut menjadi lagu runut bunyi (OST) untuk filem Bisikan,” katanya.

Mengharapkan agar lagu ini dapat diterima dengan baik, jelasnya ini adalah tanda sokongan dirinya buat mereka yang sedang melalui apa yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Selain Khairafik saya juga diberi peluang bekerja dengan Altimet. Walaupun dia seorang yang sangat serius saya tetap bersyukur untuk diberi ruang berkongsi ilmu.

“Tidak banyak yang saya harap selain lagu ini mendapat sokongan pendengar muzik di luar sana. Sebagai satu lagu yang cukup bermakna buat diri saya tentunya saya mahu apa yang saya rasa melalui lagu ini sampai kepada mereka,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya