Majlis Daerah Kerian (MDK) merancang membangunkan kawasan Ban Pecah, Tanjung Piandang, Perak dalam kawasan seluas kira-kira 0.5 ekar termasuk bahagian pantainya sepanjang kira-kira 10.4 kilometer dari Parit 30 hingga Tanjung Piandang dengan kos RM2 juta.
Yang Dipertua MDK, Helmi Yusof berkata, pantai Tanjung Piandang terutama sekitar Ban Pecah dibangunkan sebagai lokasi baharu ekopelancongan di Daerah Kerian. Ia bagi meningkatkan produk pelancongan tersebut sekali gus diharap mampu meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam negara dan luar negara ke daerah itu.
Katanya, benteng dan Ban Pecah adalah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pembinaan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bermula 2017 dan siap Januari 2018.
Menurutnya, MDK melaksanakan pembangunan Dataran Ban Pecah di bahagian utara dan siap pada akhir Ogos lalu, menerusi peruntukan kerajaan.
Katanya, pembangunan Dataran Ban Pecah Bahagian Utara itu menelan kos keseluruhan RM1 juta dalam kawasan 0.5 ekar.
Ia meliputi pembinaan beberapa kemudahan seperti parkir kereta, tempat niaga berbumbung, tandas awam, tempat mandi, kerusi tempat rehat dan pencahayaan lampu limpah yang siap pertengahan September lalu.
Helmi berkata, MDK juga membangunkan bahagian selatan Ban Pecah dengan anggaran kos RM1 juta, pembangunan yang sama seperti Dataran Ban Pecah di sebelah utara.
Kerajaan negeri pada dasarnya telah meluluskan peruntukan untuk tahun depan dan pembinaan dijangka siap akhir tahun.
“Pembangunan meliputi landskap bagi kawasan terbabit bernilai kira-kira RM30,000,” katanya.
Pembangunan Ban Pecah meliputi kawasan pantai sejauh lima kilometer (km) sebagai tarikan baharu pelancongan di daerah Kerian dengan mempunyai kemudahan asas yang baik untuk pengunjung terutama pada hujung minggu.
Helmi berkata, daerah Kerian yang berkeluasan 921.47 kilometer (km) persegi.
Menurut Helmi, pantai Ban Pecah Tanjung Piandang sepanjang keseluruhan kira-kira 17km bermula dari Kuala Gula dan bahagian pantai Ban Pecah sedang dibangunkan menjadi produk ekopelancongan bertaraf global dan antarabangsa yang mengekalkan sifat semula jadinya.
“Malah Ban Pecah sudah menjadi lokasi pemancing ikan terutama pada hujung minggu. Pada hari-hari kelepasan am pula ia menjadi pilihan komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan pertandingan memancing ikan dan aktiviti rekreasi, terutama sebelum negara dilanda penularan Covid-19.
“Walaubagaimana pun, oleh kerana pantai Ban Pecah berombak kuat, maka kawasan ini tidak sesuai dijadikan tempat berkelah dan mandi-manda.
“Sebaliknya hanya sesuai bagi aktiviti santai dan keluarga di samping menjalankan aktiviti memancing ikan laut dan rekreasi,” katanya.
Helmi berkata, beberapa cadangan lain dalam pembangunan Ban Pecah adalah pembangunan pusat informasi pelancongan bagi membolehkan pengunjung mendapat maklumat pelancongan.
Katanya, pembangunan kawasan Ban Pecah ini penting untuk menarik kunjungan pelancongan eko yang lebih selesa kepada pengunjung, sekali gus menyediakan kemudahan sesuai dan selesa kepada pengunjung. Selain itu, mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat.
Helmi memberitahu, selepas Program Kayuhan Santai Merdeka pada 30 Ogos lalu yang disertai lebih 60 peserta sejauh 37km dari pekarangan Majlis Daerah Kerian, Parit Buntar ke Dataran Ban Pecah.
Menurutnya, pembangunan Ban Pecah akan meningkatkan imej lokasi pelancongan terbabit dengan mewujudkan gerai-gerai jualan kraf tangan dan makanan, kios dan sebagainya bagi memberi peluang peniaga mempromosi terutama produk makanan dan hasil kraf tangan tempatan sebagai cenderamata.
Katanya, apa yang menarik pelancong ke Tanjung Piandang terutama Ban Pecah, mereka akan dapat menikmati kari ikan sembilang, masakan ketam kulit lembut dan mi udang segar yang hanya ada di Tanjung Piandang.
Istimewanya ikan sembilang, udang dan ketam lembut adalah hasil tangkapan oleh nelayan tempatan.
Produk makanan itu memang popular dan sinonim di Tanjung Piandang, sekali gus menjadi menu wajib dicuba.
Menurut Helmi, kini ada lebih 20 peniaga di kawasan Ban Pecah yang berdaftar dengan MDK. Mereka menjalankan perniagaan bermula petang Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 3 petang sehingga tengah malam.
Katanya, ada beberapa lagi produk pelancongan di daerah Kerian dan yang paling terkenal adalah resort pelancongan Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), dimajukan Emkay Sdn. Bhd. Ia meliputi kawasan marin, Eco Park,Water Park, Pulau Orang Utan, pusat riadah dan rekreasi, hotel-hotel dan lain-lain kemudahan termasuk Kolej Latihan Jururawat dan Kolej Latihan Prapendidikan Awal yang terletak kira-kira 50km dari Ban Pechah.
“Malah satu lagi lokasi menarik yang mesti dikunjungi oleh pelancong tempatan dan juga dari luar negara adalah pusat pelancongan Kuala Gula dan dikenali sebagai Kuala Gula Santuary Resort,” katanya.
Sasar kepuasan pelancong
Helmi berkata, pembangunan di daerah Kerian berpandukan kepada Rancangan Tempatan Daerah (RTD) yang hasilnya pasti mampu menyajikan kepuasan kepada setiap pelancong yang datang ke daerah Kerian.
“Kuala Gula kini mempunyai kemudahan 20 calet dan masing-masing sebuah rumah rehat, dewan, surau dan restoran yang dibangunkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kerian. MDK membantu mengurus dan mempromosikannya.
“Pengunjung boleh menggunakan calet untuk bermalam sebelum ke Pulau Bird Santuari bagi melihat pelbagai jenis burung hijrah yang datang ke santuari di Pulau Kelumpang itu.
Sementara itu, Helmi berkata, dalam usaha meningkatkan produk pelancongan, MDK akan membangun dan merancang membina kemudahan bagi pengunjung menjalankan kegiatan mendaki puncak Gunung Semanggol setinggi 390 meter dari aras laut yang bermula di Kampung Gunung Semanggol.
Pada masa ini setiap hujung minggu ramai peminat pendaki gunung menjalankan aktiviti mendaki Gunung Semanggol secara berkumpulan melalui trek yang telah direntas oleh peminat kegiatan itu.
Satu lagi produk baharu di puncak Gunung Semanggol adalah pendaki boleh mencuba menaiki Glider bermula di puncak gunung untuk menikmati keindahan alam sekitar dan merasai nikmati udara yang menyegarkan.