Putrajaya adalah destinasi pelancongan dalam bandar yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.
Apatah lagi tasik buatan seluas 650 hektar sememangnya mempunyai aura tersendiri bagi menarik kehadiran ramai pengunjung untuk beriadah dan melakukan pelbagai aktiviti air.
Terletak di tengah-tengah pusat pentadbiran negara itu, tasik berkenaan juga dilihat sebagai salah satu ikon menceritakan keunikan Putrajaya sebagai bandar moden yang dikelilingi alam semula jadi.
Walaupun hujan renyai-renyai sepanjang melayari Tasik Putrajaya dengan Cruise yang disediakan oleh Marina Putrajaya Sdn. Bhd. (MPSB), pelayaran selama satu jam setengah sejauh 10 kilometer itu tidak terasa begitu lama.
Ini kerana, warga media bukan sahaja disajikan dengan hidangan makanan tradisional Melayu yang menyelerakan seperti satay, nasi himpit, kuah kacang dan roti jala bahkan dengan persembahan buskers yang memainkan lagu-lagu kegemaran ramai di samping aktiviti permainan yang menghiburkan.
Itu antara pengisian yang terdapat dalam pakej baharu iaitu Lepaq@Cruise bagi merancakkan aktiviti pelancongan domestik yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19 sekali gus menyekat kemasukan pelancong asing ke negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaharah Selamat berkata, sebagai permulaan, pakej itu akan dianjurkan pada setiap Sabtu minggu keempat setiap bulan dengan pelbagai tema yang disediakan kepada pengunjung.
“Cruise akan mula berlayar pukul 9 malam dari Jeti Cruise Tasik Putrajaya di Presint 1 dan sebanyak 21 kawasan tarikan dan tumpuan pelancongan sepanjang tasik itu dapat dinikmati seperti Istana Darul Ehsan, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yayasan Kepimpinan Perdana, Monumen Alaf Baru dan Jambatan Seri Saujana.
“Setiap bulan kami akan memperkenalkan tema yang berbeza supaya pengunjung dapat merasakan sendiri tarikan dan kelainan yang disediakan. Kami akan meningkatkan kekerapan waktu pelayaran sekiranya pakej ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Lepaq@Cruise menawarkan harga RM250 bagi dua dewasa manakala RM75 bagi seorang kanak-kanak dan mampu memuatkan seramai 30 penumpang pada satu-satu masa mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal bagi mencegah jangkitan wabak Covid-19.
Pelanggan yang membuat tempahan bagi pembelian pakej itu juga layak mengambil bahagian dalam cabutan bertuah sekali gus berpeluang memenangi hadiah telefon pintar RM2,500.
Pakej istimewa itu bermula sejak Ogos lalu yang memperkenalkan tema Silver & Black sempena sambutan Jubli Perak penubuhan Putrajaya bagi tahun yang ke-25.