Langkah kembali Linda Nanuwil - Utusan Malaysia

Langkah kembali Linda Nanuwil

Tidak mahu ‘hilang’ lagi, Linda berjanji untuk beri sepenuh jiwa dan komitmen dalam bidang seni demi peminat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namanya pernah popular dalam industri seni suara namun entah mengapa, dia tiba tiba hilang dan tiada khabar berita. Ramai peminat kecewa dan bertanya, apa sebenarnya yang berlaku.

Tatkala lagu dan namanya meniti di bibir peminat, ada yang mengatakan tindakan penyanyi, Linda Nanuwil merugikan dirinya sendiri. Bukan mudah untuk popular apatah lagi mahu kekal relevan.

Mengakui kesilapannya dahulu, Linda banyak belajar daripada kesilapan. Dia juga mengharapkan peminat memberi sokongan tidak berbelah bahagi di atas kemunculannya semula dalam industri.

Bakal berentap dengan 13 nama besar dalam program realiti popular, Gegar Vaganza (GV) musim ke-7, anak kelahiran Sabah mengakui gugup. Namun, dia bulatkan semangat untuk kembali membuktikan kemampuannya.

“Saya lahir daripada sebuah program realiti sekitar tahun 2008. Ketika itu saya masih muda, jiwa dan mental lemah. Sebab itu saya buat keputusan pulang sahaja dan fokus nyanyian di tempat kelahiran.

“Namun setelah muncul kembali tahun lalu, ramai peminat yang masih ingat dan mahu saya keluar dengan single baharu. Semangat saya terus membara dan peluang untuk sertai GV7 adalah platform terbaik.

“Memang sangsi juga. Gugup pula itu sebab kena bersaing dengan nama-nama besar. Namun, ini adalah rezeki dan bukan menang atau kalah yang menjadi taruhan. Peminat rindu untuk lihat saya menyanyi semula di pentas besar,” katanya.

Sedar industri muzik tanah air bukan seperti dahulu, lambakan ‘tentera’ jabatan netizen menyebabkan dia mula rasa gerun. Melihat ramai rakan artis yang dikecam dan dikritik secara terang-terangan ‘menakutkan’ dirinya.

Baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia media sosial, dia sedar mental dan mindanya perlu kuat. Tidak boleh mudah terasa dan mengalah. Apa sahaja komen negatif atau positif, itu perlu ditelan.

“Saya perlu sibukkan diri dengan dunia seni. Sedia untuk terima cabaran tidak kira apa juga mendatang. Semakin kita dalam industri, semakin matang pemikiran. Macam-macam yang kita perlu hadap.

“Jadi apa sahaja komen negatif yang tidak membina diri, kita biarkan sahaja. Takut memakan diri. Lebih baik kita fokus kepada komen atau kritikan positif, itu lebih baik,” katanya.

 

Single baharu, hidup baharu

           Bakal muncul dengan single Ikhlaskan Hatimu

Berbicara soal kerjaya, penglibatannnya dalam GV7 dianggap satu rahmat dan medium baik untuknya. Sementelah dia mahu melancarkan single baharu tidak lama lagi.

Bekerjasama dengan komposer popular, Ajai, single Ikhlaskan Hatimu itu bakal dilancarkan tidak lama lagi. Dia sendiri tidak menyangka peluang GV7 ini hadir di kala dia merancang untuk muncul kembali.

“Selepas lapan tahun, saya muncul kembali dengan single, Ikhlaskan Hatimu. Mendapat sentuhan Ajai, peminat tidak sabar sebenarnya mendengar lagu tersebut. Saya sendiri teruja dan dalam pada masa sama, teruja,” katanya.

Disebut-sebut antara nama yang bakal bergelar juara GV musim ini, seraya tersenyum, Linda tidak menafikan kehebatan vokal peserta seperti Ayu Damit dan Ashira.

Malah, kehadiran Ratu Etnik, Noraniza Idris dan penyanyi rock, Mus May juga menambah persaingan. Namun kejuaraan bukan agenda dia menyertai program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

“Saya sendiri takut bila dengar nama peserta lain. Tipulah kalau kita tak mahu menang, tetapi saya tak mahu fokus itu. Saya mahu belajar dan kembali memeriahkan industri hiburan.

“Malah, kehadiran Datuk Ramli MS sebagai juri tetap juga menambahkan gerun. Mana tidaknya, dia adalah bekas pengetua ketika saya di Akademi Fantasia dahulu,” selorohnya.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya