Kisah cinta Nurul Aisyah lahirkan lagu `Menunggu' - Utusan Malaysia

Kisah cinta Nurul Aisyah lahirkan lagu `Menunggu’

Orkes A. Hizadin Mingguan/- AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA diminta mengulas lagu Menunggu oleh Orkes A. Hizadin yang mendapat tempat ketiga Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020, saya tegaskan elemen terkuat dalam lagu itu adalah liriknya.
Bait kata yang disusun Amirudin Hizadin sebagai penulis lirik bukan sekadar menyentuh emosi malah akal kerana dia menggunakan klausa yang segar dalam menyampaikan sesuatu makna.
Selepas Amirudin menceritakan kisah di sebalik penghasilan lagu tersebut, saya bertambah yakin bahawa Menunggu adalah sebuah adikarya; malah lebih tinggi tempatnya berbanding lagu Kejayaan dan 2.6 Bintang yang mula memperkenalkan namanya sebagai penyanyi dahulu.
Menurut Amirudin, lirik itu terhasil setelah dia dan kekasihnya (yang kini sudah bergelar isteri dan ibu kepada anaknya) berbual tentang kisah lampau.
Ketika itu, dia baru tahu bahawa isterinya, Nurul Aisyah sudah menunggunya sejak berbelas tahun. Mereka bertemu buat pertama kali semasa sekolah rendah dan sejak itu, Aisyah sudah menaruh hati.
Pelbagai peristiwa berlaku selepas itu sehinggalah mereka diijabkabulkan dan kini bahagia sebagai suami isteri.
Semua kisah ini ada dimuatkan dalam e-book Diari Lagu yang ditulis oleh Amirudin dan dijual sebagai cenderahati sempena pelancaran album Orkes A. Hizadin Vol. 2.
Buat yang meminati Amirudin atau Orkes A. Hizadin dan mahu tahu kisah di sebalik lagu-lagu mereka, segeralah layari laman web rasmi kugiran itu untuk dapatkan e-book tersebut.
Kisah itu juga diabadikan dalam video muzik lagu itu dalam bentuk animasi yang dihasilkan oleh Zuliana Eusoff.
Sejak dilancarkan tujuh bulan lalu, muzik video tersebut telah menerima hampir 500,000 tontonan di Youtube.
Lirik Menunggu adalah kisah Aisyah yang menunggu cinta sebegitu lama. Mungkin kerana ketulenan kisahnya, lirik lagu itu sangat kuat dan membekas.
Ia juga hasil kemahiran Amirudin yang bijak bermain bahasa. Bagi yang tidak tahu kisah di sebalik lirik itu, pasti akan tertarik kepada baris “hingga Tuhan selalu mendengar namamu” kerana ia segar. Setakat pengalaman bacaan saya, belum pernah saya lihat penulis menyampaikan maksud ‘doa’ melalui sudut ini.
Namun, selepas mengetahui latar ceritanya, baris terkuat dalam lirik itu ialah “biarpun kau begitu”. Ia mencerminkan kerelaan hati menerima tindakan-tindakan yang melukakan. Namun dalam kisah itu, Amirudin tidak pernah sedar bahawa tindakannya melukakan.
Lirik itu terhasil melalui permainan bahasa dan taakulan empatik pada tahap tinggi. Kedua-dua nilai ini penting dalam penghasilan sesebuah karya penulisan.
Amirudin merupakan vokalis dan pencipta lagu utama dalam kugiran Orkes A. Hizadin. Selainnya, Orkes A. Hizadin dianggotai Ully (gitar), Nash (bass), Syahid (gitar) dan Saufi (dram).
Untuk lagu Menunggu, Orkes A. Hizadin berkolaborasi dengan penyanyi muda, Ainina Hasnul.
Ainina sendiri mengakui, berat untuk menjiwai Menunggu tetapi dia cuba memahami liriknya dan meletakkan maknanya kepada pengalaman sendiri.
“Pada saya, mesej lagu adalah tentang cinta yang begitu kuat sehingga anda sanggup mengorbankan banyak benda untuknya. Biarpun macam mana, sanggup menunggu.
“Saya cuba untuk letakkan mesej itu dalam pengalaman saya sendiri dan cinta saya kepada mereka di sekeliling saya – keluarga, kawan-kawan termasuk diri saya sendiri,” katanya.
Bagi Ainina, kekuatan Menunggu adalah pada ketulenannya yang memberi impak kepada mereka yang mendengar.
Ketulenan itu bukan hanya ada pada Menunggu, malah banyak lagu-lagu lain yang ditulis Amirudin kerana dia dilihat begitu selesa menulis tentang perkara yang di sekitarnya.
Malah, nama Nurul Aisyah yang bermaksud cahaya bahagia hidup diabadikan dalam dua lirik tulisannya, Menunggu dan Merajuk.
Seperti yang dicatatkan Amirudin dalam e-book Diari Lagu, selepas ini lagu-lagu Orkes A. Hizadin akan lebih bercerita tentang subjek yang lebih luas, bukan lagi berdasarkan pengalaman-pengalaman peribadinya.
Pastilah ia sesuatu yang ditunggu-tunggu peminat untuk melihat Orkes A. Hizadin terus berkembang dengan gaya muzik serta penulisan baharu. – Rondivu, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya