Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) baru-baru ini mengadakan kerjasama memorandum persefahaman (MoU) dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Ia bertujuan menghasilkan kerjasama pintar dalam semua aspek bercirikan interdisciplinary dan merentas disiplin yang melibatkan kolaborasi terutama pihak ACIS-UiTM dan PNB.
MoU itu ditandatangani Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim bersama Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Mohd. Nizam Zainordin.
Yang turut hadir, Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr. Nurhidayah Muhammad Hashim dan Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr. Ahmad Basri Ibrahim.
Kerjasama itu dapat menerapkan kemahiran insaniah yang memberi impak kepada hasil kerja mahasiswa UiTM sebagai persiapan memasuki sektor industri.
Seterusnya diharap dapat melahirkan graduan yang berkualiti dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi melalui dokongan industri.
Antara bentuk kerjasama yang akan dijalinkan adalah dalam bidang penyelidikan dan inovasi, penerbitan, konsultansi dan lain-lain termasuk penajaan pelajar B40, fakir dan miskin yang mempunyai akademik dan sahsiah diri yang cemerlang.
Kerjasama ini boleh menjadi platform bersama bagi menghasilkan sesuatu produk pengkomersialan, selain penyelesaian kepada beberapa permasalahan semasa, sekali gus menjimatkan kos bagi khidmat runding.
Dalam hal ini, warga kerja akademik UiTM dan PNB boleh menjalani penempatan bersilang atau mobiliti kerjaya bagi mendalami kepakaran, mempertingkatkan keberhasilan dan mencontohi budaya prestasi tinggi antara dua lapangan yang berbeza dari segi teori dan praktikal.
Bagi memperkukuhkan jaringan kerjasama ini, UiTM boleh melantik panel penasihat industri, bertujuan memberi input yang terkini bagi memberi pandangan industri dalam mewujudkan kesejajaran antara industri dan universiti.
Walaupun tiada sebarang MoU yang ditandatangani sebelum ini, namun kerjasama antara UiTM dengan PNB telah banyak dijalankan.
Ia melalui penerbitan buku-buku dan penajaan seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam (ZAWFI) yang diadakan setiap tahun semenjak 2017 oleh ACIS.