Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan dengan tawaran sebanyak 9,999 nombor untuk dibida dalam tempoh tiga tahun. Tawaran bermula UPM 1 hingga UPM 9999.
Pembukaan bidaan tersebut yang bermula pukul 12 tengah hari semalam adalah satu inisiatif mempelbagaikan penjanaan pendapatan universiti berkenaan dengan sasaran jualan sebanyak RM14 juta.
Dengan slogan Bida, Beli dan Berbakti sasaran pembeli terdiri daripada alumni, staf dan pelajar universiti berkenaan selain individu dan organisasi luar sebagai satu cara menambah dana endowmen yang dapat membantu kelangsungan pendapatan untuk menampung perbelanjaan operasinya.
Harga bidaan bermula minimum RM1,000 bagi kategori bukan korporat manakala RM150,000 ditawarkan kepada korporat dan mereka yang dikategorikan sebagai kenamaan khas.
Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata, inisiatif tersebut bertujuan memberi peluang kepada mnereka yang ingin menyumbang kepada dana endowmen universiti bukan sahaja alumni dan staf serta pelajar tetapi juga orang perseorangan dan syarikat.
“Saya percaya dengan komitmen yang diberikan, tidak mustahil projek ini mampu menyumbang kepada pendapatan UPM sekurang-kurangnya RM1.1 juta dalam jangka masa terdekat, “ ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan sempena pelancaran penjualan nombor pendaftaran khas UPM di Serdang semalam.
Yang turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Nombor Pendaftaran Khas UPM, Datuk Zulkifli Othman.
Syed Razlan yang juga bekas Presiden Persatuan Alumni UPM berkata, beliau berharap persatuan tersebut yang mempunyai rasa kecintaan mendalam terhadap universiti sewajarnya menjadi pemegang taruh untuk menyokong sebarang inisiatif daripada UPM.
Sementara itu, Dr. Mohd Roslan berkata, inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memberi kelulusan untuk melaksanakan penjualan nombor pendaftaran khas dengan prefiks (awalan) UPM, bermula pada tahun ini.
Beliau berkata, bagi sesi bidaan kali ni, UPM akan melancarkan semua kategori nombor kecuali nombor tunggal.
Nombor tunggal ini akan disimpan kepada pembida istimewa dalam kalangan ahli korporat dan para alumni universiti.
“Dengan harga minimum RM1,000, anda boleh mendapatkan nombor pilihan dengan awalan UPM secara bidaan melalui sistem PUTRABid,” katanya.
Bagi kakitangan UPM, pihaknya sedang berusaha menyediakan platform khas kepada mereka yang berhajat mendapatkan nombor pendaftaran tersebut dengan memperkenalkan skim potongan gaji secara bulanan.
Katanya, kaedah pelaksanaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui Info UPM.
Kategori harga
Superplatinum – RM100,000 hingga RM150,000
Platinum – RM25,000 hingga 75,000
Emas – RM10,000 hingga RM15,000
Perak – RM3,000 hingga RM7,000
Gangsa – RM1,000