Jibran gigih pertahan seni boria - Utusan Malaysia

Jibran gigih pertahan seni boria

Boria mendapat tempat di hati Jibran Khalil kerana dipersembahkan dengan struktur istimewa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG remaja yang berusia 14 tahun ketika itu asyik memerhatikan persembahan boria yang dipersembahkan di Kampung Makam, Pulau Pinang.

Sketsa, nyanyian, tarian dan lakonan yang dimainkan oleh tukang karang serta ahli kumpulan boria ketika itu diatur dengan indah sehingga menimbulkan minat Jibran Khalil Sinda Madar untuk mendalami ilmu persembahan boria bercambah.

Bertitik tolak daripada itu, Jibran Khalil yang kini berusia 53 tahun terus jatuh cinta dengan tidak pernah berhenti daripada bergiat aktif di dalam persembahan boria.

Menjejak usia 39 tahun berbakti di dalam dunia seni persembahan boria, Jibran Khalil yang berpengalaman sebagai tukang karang telah melihat zaman jatuh dan bangun teater tradisi rakyat negeri Pulau Pinang ini.

Daripada beratus-ratus jemputan boria diterima pada masa dahulu sehinggakan tiada jemputan persembahan akibat Covid-19,Jibran Khalil tetap tegar memperjuangkan seni boria agar terus diingati masyarakat Pulau Pinang.

                                           Jibran Khalil

 

Jibran Khalil yang juga Presiden Persatuan Boria Wawasan berkata, boria merupakan teater tradisi yang unik dan hanya terdapat di Pulau Pinang.

Menurutnya, persembahan boria mempunyai pengisian lakonan (lawak jenaka), nyanyian, muzik serta tarian dan elemen-elemen ini digarap menjadi sebuah persembahan yang mempunyai struktur istimewa.

“Secara dasarnya, susunan persembahan boria adalah seperti berikut iaitu lakonan, persembahan nyanyian muzik dan tarian.

“Kemudian ia akan disusuli oleh tukang karang yang menyanyikan satu rangkap lagu dan ahli lain yang dipanggil sailor akan menyambut satu rangkap nyanyian tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jibran Khalil memberitahu, boria pada asalnya dilakonkan oleh orang-orang lelaki sahaja namun apabila seni ini sampai ke Tanah Melayu persembahannya telah bertukar corak dan pesertanya terdiri daripada lelaki dan perempuan.

“Ada banyak pendapat mengenai asal usul kedatangan dan perkataan boria. Ada pendapat mengatakan bahawa nama boria diambil dari nama salah seorang pelakon boria yang terkenal pada masa dahulu iaitu Nanak Shah, Majnun, Balva Ghahri dan Boria.

“Boria juga dikatakan berasal daripada perkataan bori iaitu satu suku kaum yang berasal dari Gujerat, India apabila segelintir kaum ini telah berhijrah ke Pulau Pinang. Dikatakan mereka inilah yang memulakan kesenian boria di Pulau Pinang,” katanya.

1980-1990 tahun gemilang

Gibran Khalil berkata, tahun 1980 hingga 1990-an merupakan tahun kegemilangan seni boria yang terkenal di seluruh pelosok negara dan ketika itu setiap kampung di Pulau Pinang mempunyai kumpulan boria mereka yang tersendiri.

“Pada masa itu, memang meriah, sebut saja ada boria, orang ramai akan menunggu di depan pentas untuk melihat persembahan.

“Pentas yang disediakan juga akan dipenuhi ahli kumpulan boria yang pada masa itu boleh mencecah sehingga 30 orang untuk satu kumpulan,” katanya.

Beliau yang berpengalaman lebih 800 kali sebagai tukang karang berkata, pengalaman manis ketika menjadi penggiat seni boria adalah ketika kumpulan yang dianggotainya menjadi juara sebuah program televisyen yang dinamakan Dendang Rakyat pada 1988.

“Program Dendang Rakyat yang popular ketika itu melibatkan ramai peminat seni warisan sentiasa menantikan program ini.

“Selepas memasuki beberapa peringkat, kumpulan boria saya ketika itu, Hospital Perubatan Pulau Pinang diumumkan menjadi juara dan pengalaman manis ini sentiasa saya kenang,” katanya.

Tambahnya, sejak dahulu sehingga sekarang sketsa yang dipersembahkan dalam boria merupakan isu-isu dan kritikal sosial kepada masyarakat.

“Walaupun dalam bentuk komedi, namun isu yang diketengahkan amat dekat dengan masyarakat dan menjadi medium pendidikan kepada rakyat.

“Walaupun semakin dilupakan, namun seni warisan ini akan tetap saya pertahankan kerana minat dan kecintaan mendalam saya kepada seni budaya ini,” katanya.

Mahu boria diiktiraf Unesco

                                     Ilmu mengenai seni boria diperturunkan kepada generasi muda

 

Perjuangannya memartabatkan boria tidak hanya sekadar berkisar kepada mengembalikan minat generasi muda kepada seni teater unik warisan Pulau Pinang ini.

Namun, Jibran Khalil berazam untuk melihat boria diiktiraf sebagai salah satu warisan dunia agar seni tersebut dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa.

Katanya, usaha untuk menjadikan boria sebagai salah satu warisan budaya yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) itu telah dimulakan pada 2018 dan ia masih berterusan sehingga kini.

“Pada 2018, satu memorandum untuk mengangkat boria sebagai satu warisan budaya dunia telah diserahkan kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

“Tetapi pada masa itu, kementerian berkenaan mempunyai warisan lain yang sedang diusahakan untuk diangkat sebagai warisan dunia, dan kini Timbalan Menteri Pelancongan juga telah bertukar.

“Walau apa pun terjadi, kami tetap akan berusaha untuk melihat boria diangkat menjadi warisan dunia menerusi pelbagai cara,” katanya.

Jibran Khalil berkata, pada pengamatannya tidak ada seni warisan lain di dunia yang begitu unik seperti boria.

“Elemen muzik, nasihat kepada rakyat, sketsa semuanya digabungkan di dalam persembahan boria dan keunikan ini hanya terdapat dalam persembahan boria,” katanya.

Tambahnya, untuk menarik minat generasi muda terhadap seni boria, beliau juga telah menubuhkan Akademi Boria Pulau Pinang serta memuat naik rakaman lagu-lagu boria menerusi platform YouTube.

“Saya tidak mahu lihat boria terus pupus, ini sahaja yang saya mampu buat untuk boria.

“Saya juga berharap kerajaan dapat memainkan peranan untuk bersama-sama kami penggiat boria dalam memastikan boria terus diminati masyarakat,” katanya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya