BERADA dalam tempoh yang sangat tenang kini. Ternyata tahun 2020 membawa satu sinar berbeza buat kehidupannya.
Berkongsi apa yang dilaluinya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu kata pelakon Hafreez Adam, dia kini mengakui ada kesilapan diri yang berlaku.
Malah melalui kesilapan itu juga menjadi antara salah satu punca mengapa percintaan yang tersemi sebelum ini terlerai di tengah jalan.
“Sepanjang tempoh PKP tempoh hari, saya banyak muhasabah diri. Senang cerita dalam tempoh itu saya mula kenal siapa diri saya.
“Antara kesilapan lalu yang saya lihat pada diri bagaimana saya pandang enteng soal komunikasi.
“Saya selalu memendam rasa dan selalu beranggapan semua perkara itu kecil dan tidak perlu diluahkan.
“Walhal bila kita terlepas pandang perkara itu ia akan memberi kesan kepada hubungan itu sendiri,” katanya juga dalam tempoh ini dia sudah sepenuhnya move on dari kisah percintaan lalu.
Masih selesa tanpa kehadiran kekasih ketika ini, katanya, bukan serik menjadi jawapan kepada persoalan itu. Bagi pelakon berusia 3o tahun ini dia cukup bersedia soal jodoh namun apa yang lebih penting kini adalah memberi tumpuan kepada keluarga dahulu.
“Tempoh sekarang saya tidak mencari, tetapi tidaklah serik untuk kembali dalam hubungan. Cuma dalam tempoh sekarang memang masa saya ke tempat kerja dan di rumah. Jadi tidak sempat bertemu orang.
“Cuma jika benar ada jodoh selepas ini, memang ada yang berbeza. Jika sebelum ini saya bersikap terbuka berkongsi kisah cinta rasanya selepas ini akan lebih berhati-hati. Sebabnya apa yang saya belajar, bila kita terbuka orang di luar sana hanya tahu perkara secara luaran.
“Bila timbul spekulasi yang tidak betul perkara ini mampu memberi impak kepada sesebuah hubungan,” jelasnya yang sebelum ini pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Zara Zya sebelum masing-masing mengambil keputusan memutuskan hubungan.
Tidak kekok menjawab soalan ciri-ciri wanita yang mungkin mampu menambat hatinya. Tentunya bagi Hafreez ketika ini, dia perlu bersikap rasional selain tidak meletakkan had dalam mengenali sesiapa juga.
“Saya tidak serik bercinta dengan artis, malah kalau ikut logik memang dunia saya lebih banyak di tempat kerja dan selalunya memang golongan artis sahaja yang saya akan jumpa.
“Antara ciri-ciri wanita yang saya perlukan adalah seorang yang ceria selain berfikiran terbuka.
“Sebab apabila berada dalam industri ini kita memerlukan seseorang yang memahami pekerjaan sebagai seorang pelakon,” katanya.
Fokus baiki hubungan
Jujur memberitahu bagaimana dia hampir kehilangan rakan-rakan baik dek kerana cinta dan kesibukan diri.
Kali ini ada yang mahu diperbetulkan kembali pelakon drama Monalisa ini.
Malah mengambil iktibar melalui apa yang berlaku, kala ini dia lebih banyak meluangkan masa dengan mereka yang membantu dirinya selama ini.
“Saya akui dahulu ketika bercinta lebih banyak habiskan masa dengan bekas kekasih. Jadi sampai kawan-kawan yang terasa ditambah pula kesibukan bekerja. Jadi memang ada yang rasa hubungan itu berbeza memandangkan cara layanan saya tidak sama.
“Bila saya bertunang tempoh hari ia berlaku antara keluarga sahaja. Jadi mereka anggap saya melihat mereka sebagai orang asing.
“Sebab itu dalam tempoh PKP banyak mengajar saya untuk menghargai nilai sebuah persahabatan dan sekarang saya memang dalam usaha memperbaiki kembali hubungan itu,” katanya lagi.
Selain rakan, pelakon tinggi lampai ini juga memberitahu dia kini juga turut menyedari bagaimana keluarga adalah tunjang utama kehidupannya. Malah terpisah beberapa minggu daripada keluarga sepanjang Mac lalu membuka matanya untuk sentiasa berada bersama orang yang disayangi terutama ibunya.
“Bila bermula PKP saya terpisah dengan keluarga. Keluarga saya di Kuala Lumpur saya berada di Semenyih. Mujur saya sempat ke rumah Ariz Forteen untuk tinggal bersama keluarganya.
“Jika tidak memang saya berseorangan. Belajar daripada apa yang berlaku, selepas kejadian itu memang saya pilih untuk tinggal bersama keluarga.
“Malah saya juga sudah pindah untuk tinggal bersama ibu dan adik-beradik saya kini. Ikutkan itulah kali pertama saya berjauhan dengan keluarga dalam tempoh yang agak lama,” kata pelakon yang turut menjadi perhatian melalui drama Puteri Yang Ditukar ini.
Paranoia
Bergelut dengan masalah kerisauan melampau, sehingga kini Hafreez tidak mampu berada di khalayak ramai secara sendirian.
Pernah suatu ketika dia berhadapan dengan serangan penyakit itu yang menyebabkan jantungnya berdegup laju.
“Bila berlaku PKP tempoh hari memang membuatkan saya berhadapan dengan waktu sukar. Sebab dalam fikiran hanya memikirkan bagaimana saya tidak akan bertemu dengan keluarga sampai bila-bila. Sebab saya memang tidak boleh tinggal sendirian.
“Selalunya bila saya terkena serangan itu akan membuatkan jantung saya berdegup laju. Saya juga memang tidak boleh berada di kawasan yang ramai orang, dalam tempoh sekarang memang cukup menakutkan,” katanya yang berhadapan dengan situasi itu sejak beberapa tahun lalu.
Cuba mengatasi masalah yang dihadapinya ini dengan cara tersendiri, ketika ini Hafreez memastikan dia akan ditemani ke mana juga.
“Saya pernah suarakan hal ini kepada rakan dan ingin juga bertemu dengan pakar bagi menyelesaikan masalah ini.
“Tetapi saya diberitahu hanya akan bergantung dengan ubat. Jadi, saya fikir untuk teruskan dengan keadaan ini memandangkan serangan itu tidaklah begitu serius,” katanya.