Deruman 137 kereta mewah jenama Ford Mustang, membelah pagi ibu kota bagi realisasikan Perhimpunan Ford Mustang Terbesar di dataran pusat beli-belah, Pavilion di Kuala Lumpur.
Deretan kereta berlogo kuda berlari pelbagai warna itu menambah indah pagi di Jalan Bukit bintang pada acara julung kali diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Sudah pasti pemandangan jarang-jarang dilihat warga kota itu menggamit perhatian ramai untuk merakam gambar kenangan bersama jentera yang mula di perkenalkan Ford pada 1964 itu.
Pengasas Kelab Mustang Malaysia, Mohd. Shahazad Mohd. Satar berkata, program itu dianjurkan bukan semata-mata untuk berkonvoi dan berkenalan antara ahli, sebaliknya turut berusaha membantu menyemarakkan ekonomi negara menerusi konvoi dijayakan.
Katanya, dalam perhimpunan kira-kira empat jam bermula pukul 9 pagi itu, ahlinya berbelanja lebih RM35,000 di ‘syurga’ beli-belah Bukit Bintang.
“Saya kira pandemik Covid-19 ini, memberi peluang kepada kami merancakkan ekonomi tempatan menerusi aktiviti berbelanja seperti ini,” katanya.
Perhimpunan itu turut menyaksikan beberapa model yang jarang ditemui dan ikonik seperti Ford Mustang klasik Mustang Fastback 1968 GT390. Turut mengambil bahagian adalah Ford Mustang klasik, Restomod 1968 Ford Mustang Coupe 5.0L V8 yang ikonik.
Ahli Kelab, Saidatul Jan Mohd. Yusof, 42, memanfaatkan aktiviti membeli-belah dengan memperuntukkan lebih RM8,000 untuk berbelanja di Pavillion.
Katanya, matlamat kelab berkenaan harus dipuji kerana membantu meningkatkaan ekonomi negara, lebih-lebih lagi pada waktu pendemik seperti sekarang.
“Saya memanfaatkan acara dengan membeli beg. Saya kira acara sebegini perlu diteruskan kerana selain dapat berkenalan dengan ahli, kita juga dapat bersantai,” katanya yang memiliki jentera kesayangan berwarna hijau lumut.
JAMU SELERA
Selepas acara itu, Mohd. Shahazad berkata ahli kemudiannya menjamu selera di Restoran NZ Curry House di Jalan Ampang.
MCM ditubuhkan pada 2018 dan hingga kini berjaya mengumpul 245 ahli dalam kalangan peminat jentera itu.
Keahlian adalah terbuka kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas syaratnya memiliki sekurang-kurangnya sebuah Ford Mustang sebarang model.
Walaupun kenderaan berkenaan dibina pada 1964, jenama itu hanya mula memasuki negara pada 2016. Sungguhpun baharu berusia setahun jagung tetapi Mohd Shahazad dan ahli kumpulannya boleh berbangga apabila keahliannya antara terbesar di Asia Tenggara.
KEMPEN
Selain berkumpul antara ahli, Mohd. Shahazad, berkata pihaknya turut menganjurkan pemanduan amal ke rumah anak yatim dan insan kurang berkemampuan untuk menyampaikan sumbangan.
“Sebenarnya kami sudah mengatur banyak aktiviti berkaitan sumbangan, tetapi terpaksa dikurangkan disebabkan pandemik. Begitupun situasi ini tidak membantaskan kami menghulurkan sumbangan kepada pihak memerlukan,” katanya.
Acara itu turut dimanfaatkan dengan pelancaran Tabung Bantuan Covid-19 yang berjaya mengumpul RM2,000 pada hari pelancarannya.
Perhimpunan Ford Mustang Terbesar itu turut melakar rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan penyertaan 137 ahli Kelab Mustang Malaysia.
Kelab itu turut bekerjasama dengan agensi kerajaan memacu ekonomi negara. Tahun lalu ia menganjurkan kempen Jom Mai Penang dijayakan bersama kerajaan negeri berkenaan.
Kesempatan ahli berkumpul pada acara itu, turut dimanfaatkan dengan pelancaran Tabung Bantuan Covid-19 yang berjaya mengumpul RM2,000 pada hari pelancarannya.
Perhimpunan Ford Mustang Terbesar itu turut melakar rekod baharu dalam MBR dengan penyertaan 137 ahli Kelab Mustang Malaysia.