BERDEPAN Revolusi Perindustrian (IR4.0), sektor pertanian juga perlu bergerak seiring dengan penggunaan teknologi dalam bidang tersebut.
Salah satunya adalah penggunaan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam industri penanaman padi bagi menggantikan kaedah penyemburan racun serangga secara manual.
Kaedah yang semakin popular itu bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja malah membantu petani menjimatkan kos dan masa.
Namun, tidak semua termasuk dalam kalangan anak muda yang mahir dengan penggunaan teknologi itu yang memerlukan teknik yang betul mengendalikan dron khususnya dalam bidang pertanian.
Menyedari keperluan itu, Kolej Komuniti Arau dengan kerjasama Woegar AG (M) Sdn. Bhd. mengadakan kursus pengendalian dron bagi Agriculture Pilot Drone (APD) selama empat hari pada 11 hingga 14 September lalu.
Seramai 23 peserta terdiri daripada pelajar kolej tersebut menyertai kursus yang memberi pendedahan kepada mereka mengenai kaedah mengendalikan dron, pemasangan, penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan cara menerbangkan dron.
Pengarah Urusan Woegar, Mohd. Shazwan Suban berkata, sepanjang tempoh kursus tersebut, peserta menunjukkan komitmen yang cukup tinggi untuk belajar teknologi berkenaan.
Malah katanya, dalam masa singkat sahaja, rata-rata peserta juga sudah boleh mengendalikan dron termasuk daripada segi pemasangan dan penggunaan GPS.
Kata Mohd. Shazwan, pihaknya memberi pendedahan dari semua aspek bermula dengan pengenalan mengenai teknologi dron dalam pertanian, cara pemasangan sehinggalah kerja-kerja menerbangkan dron.
“Melihat kepada kesungguhan peserta, mendorong kita menganjurkan kursus seperti ini dalam skala yang lebih besar lagi selepas ini iaitu mengumpul pelajar daripada kolej komuniti seluruh negara menyertainya.
“Penggunaan dron khususnya dalam bidang pertanian pada masa ini dilihat penting bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang berminat dalam sektor pekerjaan berasaskan teknologi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sediakan 30 dron
Sementara itu, Mohd. Shazwan berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan 30 buah dron, lengkap dengan tenaga pengajar bagi membantu petani atau sesiapa sahaja belajar mengendalikan peranti tersebut.
“Seperti semua sedia maklum IR4.0 bakal memberi kesan kepada sektor pertanian. Selaras dengan itu, pihak Woegar mengambil inisiatif untuk bergerak seiring dengan perkembangan revolusi tersebut dengan menyediakan perkhidmatan dron untuk pertanian.
“Selain perkhidmatan dron untuk tujuan penyemburan racun serangga ini, kita juga membantu mereka belajar menguasai penggunaannya.
“Sudah tiba masanya teknologi ini (dron) diperluaskan dalam sektor pertanian kerana ia bukan sahaja lebih berkesan untuk tanaman malah menjimatkan masa dan kos. Setiap musim, kita memerlukan enam kali atau lebih proses menyembur racun ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Arau, Surizan Romli berkata, kursus tersebut membantu memberi pendedahan kepada pelajar menguasai teknologi tersebut.
“Diharap pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh sepanjang kursus tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Kolej Komuniti Arau turut mengadakan kerjasama strategik bersama Woegar dan Ikhwan Afifi Resources Agro Sdn. Bhd. bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar kolej berkenaan.
Selain itu, enam peserta yang menyertai kursus tersebut turut telah ditawarkan pekerjaan dengan Woegar sebagai pemandu atau pilot dron.
Kelebihan dron
» Mengurangkan penggunaan tenaga kerja, menjimatkan masa serta penggunaan input pertanian dalam jangka masa panjang.
» Sebagai contoh, penggunaan dron untuk menyembur racun bagi keluasan satu hektar kawasan tanaman padi hanya memerlukan masa sekitar 20 minit berbanding kaedah manual iaitu lebih sejam bagi keluasan sama.
» Bagi keluasan satu hektar kos penggunaan dron adalah antara RM60 hingga RM70 berbanding membayar upah tenaga kerja iaitu RM120 bagi keluasan sama dan memerlukan masa yang lebih lama.