Cikgu Nadia pilihan Tasha Manshahar - Utusan Malaysia

Cikgu Nadia pilihan Tasha Manshahar

Tasha selesa dengan fasa baharu hidupnya kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA apa yang akan menyebabkan dia berpaling dari keputusan yang sudah dibuat. Malah ketika ini juga tidak wujud rasa ralat untuk tidak lagi berada dalam dunia glamor. Kongsi Tasha Manshahar, keputusan meninggalkan terus dunia nyanyian dibuat atas pelbagai faktor. Namun yang paling utama, tentunya minat yang mendalam terhadap bidang perguruan.

“Saya memang pernah nyatakan untuk bersara dalam bidang nyanyian. Selepas lima tahun, rasanya sudah cukup .

“Saya mahu memberi fokus kepada perkara yang lebih sesuai dengan status sebagai seorang guru, isteri dan ibu,” katanya yang kini menetap di Melaka.

Memberi gambaran jelas dia cukup tegas dengan keputusan ini, kata Tasha atau nama sebenarnya Nur Nadia Natasha Mohd. Manshahar, faktor sekeliling juga menyebabkan minatnya dalam bidang nyanyian semakin pudar.

“Faktor sekeliling dan mentaliti juga menyebabkan minat saya terhadap bidang nyanyian semakin berkurangan sebenarnya.

“Melihat lebih ramai penyanyi baharu yang muncul kini, saya fikir adalah lebih baik jika peluang ini diberikan kepada penyanyi lain yang masih baru. Bagaimanapun saya akan tetap memberi sokongan kepada rakan-rakan dalam bidang ini,” kata wanita berusia 28 tahun ini.

Menolak takut akan saingan menyebabkan dia menarik diri dari dunia hiburan, kata penyanyi yang berasal dari Sabah ini, sejak memulakan kerjaya sebagai penyanyi dia tidak pernah melihat populariti sebagai sesuatu yang perlu.

“Saya tidak takut akan saingan, pada mulanya memasuki bidang nyanyian ini juga hanya secara suka-suka dan minat.

“Sebab itu saya tidak pernah fikirkan soal populariti, pada usia sekarang saya mahu cabar diri saya buat sesuatu yang berbeza sebab itu saya membuat keputusan untuk meninggalkan dunia nyanyian,” katanya yang juga duta produk penjagaan kulit muka, Bougas Beauty bersama penyanyi Wany Hasrita dan Amira Othman.

Tasha pilih bersara

Mengakui dia tidak mampu untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi dan guru dalam suatu masa. Bagi penyanyi lagu Selamat Ulang Tahun Cinta bersama Syed Shamim ini, secara jujur juga, dia sendiri tidak melihat ada keserasian untuk dua bidang ini dikekalkan dirinya dalam tempoh ini.

“Dalam fasa ini saya perlu mencari sesuatu yang lebih sesuai dengan jawatan saya sebagai seorang guru.

“Jujurnya juga saya tidak lihat ada titik pertemuan antara bidang perguruan dan nyanyian dalam keadaan ini. Sebab itu saya pilih meneruskan kerjaya sebagai guru dan meninggalkan bidang nyanyian,” jelas bekas penyanyi yang dicungkil bakatnya melalui YouTube ini.

         Tasya kini menjadi duta produk kecantikan Bougas Beauty bersama beberapa rakan artis

 

Menjelaskan dia yakin setiap pekerjaan mempunyai nilainya tersendiri, bagi Tasha tiada sebab untuk dia membezakan mana-mana kerjaya. Malah ketika ini juga dia sangat menghargai pengalaman yang dimilikinya dalam bidang nyanyian yang turut membantu kerjayanya kini sebagai seorang guru.

“Sebagai seorang guru saya menghormati setiap bidang pekerjaan dan saya yakin masing-masing juga mempunyai peranannya sendiri.

“Untuk jangka masa panjang saya melihat kerjaya sebagai guru lebih sesuai. Kelebihan saya juga dalam keadaan ini mempunyai ramai pengikut di laman sosial yang membolehkan saya berkongsi lebih banyak perkara bermanfaat,” katanya.

Panggil saya  cikgu Nadia

Mewujudkan suasana berbeza sebagai seorang guru, ketika ini juga Tasha sebenarnya lebih senang dikenali sebagai cikgu Nadia di sekolah. Bagaimanapun, katanya, bukanlah sesuatu yang membebankan untuk orang untuk terus mengenalinya sebagai seorang penyanyi sebelum ini.

“Pada awal kerjaya sebagai seorang guru memang ada anak murid yang memanggil saya dengan nama Tasha Manshahar. Ketika itu memang rasa janggal sebenarnya untuk berhadapan dengan situasi itu. Tetapi saya faham memang imej itu yang mereka kenal sebelum ini.

“Sebab itu saya lebih senang memperkenalkan diri saya sebagai cikgu Nadia yang sekali gus dapat membezakan kerjaya terdahulu saya dan kini.

“Namun, saya juga sebenarnya tidak akan terkesan sekiranya ada pihak ibu bapa yang masih mengaitkan dunia nyanyian dan bertanyakan hal ini,” katanya.

Mengakui wujud pujukan dan tawaran untuk dia kembali ke dunia nyanyian sebelum ini. Tambah isteri kepada penyanyi Raqib Majid ini, dia tidak akan sesekali memulakan sesuatu yang akan melanggar prinsip dirinya.

“Saya juga turut mendapat tawaran daripada Kementerian Pendidikan, tetapi saya fikir jika saya mulakan ini tidak akan berhenti. Jadi saya perlu teguh dengan pendirian saya untuk tidak lagi menyanyi.

“Alhamdulillah semua pihak juga faham dan menghormati. Buat masa ini kalau hendak menyanyi mungkin di rumah sahaja dengan suami,” katanya ketawa.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya