KUALA LUMPUR – Penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar,31,mendedahkan dia kini sedang hamil anak ketiga sekali gus mengesahkan desas-desus mengenai hal itu yang pernah timbul sebelum ini.
Mengakui kandungannya kini sudah memasuki usia lima bulan, Feeya yang popular dengan gelaran Cik Piah, tidak berniat untuk merahsiakan kehamilannya itu memandangkan tiada siapa pernah bertanyakan hal tersebut kepadanya.
“Tak akanlah saya nak sibuk mencanang nanti dituduh apa pula. Saya selesa berdiam diri kerana kandungan pun belum benar-benar sarat.
“Sebenarnya, kalau ada yang betul-betul perasan, pernah saja saya berikan hint atau isyarat dalam media sosial mengenai kehamilan ini.
“Tapi tidak ramai yang sedar. Malah, kawan-kawan saya pun tak semua yang tahu mengenai hal ini,” katanya.
Feeya berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pertandingan Final Suria Duo X di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen TM Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sekitar November tahun lalu, netizen pernah membuat spekulasi Cik Piah sedang hamil gara-gara perutnya kelihatan seakan-akan mempunyai baby bump menerusi foto yang dimuat naik di Instagram.
Dalam pada itu, menurut Feeya, memandangkan anak keduanya kini mencecah usia tiga tahun, dia dan suami, Nurashid Wahab, merasakan sekarang adalah waktu yang sesuai untuk menambah anggota keluarga.
“Kalau ikutkan kami ni tak pernah merancang mengenai soal anak, ini semua rezeki dari Allah SWT juga.
“Mengenai soal jantina, jujurnya adalah terselit harapan agar kali ini dikurniakan cahaya mata perempuan pula setelah dua yang sebelumnya adalah anak lelaki.
“Tetapi, itu semua urusan Dia di atas. Saya terima sahaja jika kali ini dikurniakan anak lelaki lagi asalkan bayi ini sihat dan sempurna, itu sudah cukup buat saya dan suami,”katanya.
Cik Piah mendirikan rumah tangga pada 6 Mei 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Adam Malique, 3 dan Nuh Aryyan yang kini berusia dua tahun.