Cara lama hasilkan manisan sedap, wangi - Utusan Malaysia

Cara lama hasilkan manisan sedap, wangi

Kerja menuang cecair likat manisan ke dalam acuan daun mengkuang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NYADAT tuak atau mengambil nira kelapa merupakan aktiviti tradisi yang masih diamalkan di Kelantan. Selain dijadikan minuman, nira kelapa yang dikumpul menerusi aktiviti nyadat tuak tersebut juga menjadi bahan utama penghasilan ‘nisey kerek’.

Nisey kerek adalah manisan seakan-akan gula Melaka.

Proses menghasilkannya bermula dengan nyadat tuak. Individu akan memanjat pokok kelapa dan memotong mayangnya, sebelum bahagian berkenaan ditadah menggunakan bekas berisi hirisan kecil kayu cengal.

Teknik dan ketelitian Tok Nyadat amat penting dalam memastikan nira yang terhasil adalah berkualiti dan tahan lama.

ALAT WAJIB

Keberanian sewaktu memanjat antara elemen utama diperlukan. Peralatan wajib di bawa bersama termasuklah sadat iaitu pisau khas untuk memotong mayang kelapa. Bekas tadahan, kawah, dapur, serta kerek atau acuan daun mengkuang.

Pengusaha nisey kerek, Nazri Wahabi, 38, berkata, kerja-kerja menghasilkan nisey kerek banyak mengunakan peralatan lama.

Nazri Wahabi memasak cecair manisan   – Utusan/TOREK SULONG

 

“Kebanyakan pengusaha mewarisi kemahiran daripada keluarga masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

Biarpun usianya masih muda, tetapi raut wajahnya menampakkan dirinya lebih berusia daripada angka usia.

Urat tangannya juga ketara, menampakkan kerja kampung yang dilakukan bagi menyara keluarga.

TURUN-TEMURUN

Cerita Nazri, pada peringkat awal, kerja menghasilkan nisey kerek dilakukan secara sambilan sementara menunggu kutipan hasil buah kelapa.

Nisey ini amalan lama dilakukan orang sini sebelum merdeka lagi. Kerja ini turut diwariskan kepada generasi seterusnya. Anak, cucu dan cicit sebagai menjayakan pembuatan nisey ini sebagai perniagaan hiliran keluarga,” katanya.

Menurut Nazri, lazimnya pengusaha nisey kerek memiliki banyak pokok kelapa di sekitar rumah yang ditanam oleh ibu bapa peninggalan pusaka nenek moyang mereka.

Nisey kerek adalah manisan yang dihasilkan dengan sebahagian atau sepenuhnya daripada nira kelapa dan sama seperti gula Melaka. Yang berbeza adalah rupa bentuk dan rasa.

“Kerek adalah bingkai atau acuan untuk membentuk kepingan manisan yang dibuat daripada daun mengkuang dengan aroma tersendiri,” katanya.

Manisan itu katanya, tahan disimpan sehingga satu tahun jika proses pembuatannya dilakukan dengan baik, terutama ketika mengacau dan lesek yang menjadikan ia betul-betul likat. Nisey kerek asli tanpa dicampur gula memiliki rasa unik dan tersendiri.

LAMA

Sebahagian nisey kerek yang siap diproses sebelum dibungkus kedap dalam bungkusan plastik.

 

Proses menghasilkan kerek mengambil masa empat hingga lima hari. Ia bermula dengan kerja membuang duri, menjemur, melentur dan membentuk acuan.

Aktiviti itu biasanya dilakukan oleh golongan wanita.

Menurut Nazri, di Kampung Telaga Papan sahaja terdapat 10 tempat menghasilkan nisey kerek dengan masing-masing mempunyai pelanggan serta pemborong sendiri dari seluruh negara.

Pemborong juga menempah dalam kuantiti yang banyak bagi diniagakan di pasar-pasar dan sebahagiannya dijual secara dalam talian.

“Tenaga kerja saya dibantu ahli keluarga dan jiran. Biasanya saya memulakan kerja memasak manisan waktu petang hingga tengah malam,” katanya.

Memasak memang menjadi tugasan rasmi Nazri. Dia menggunakan resipi keluarga yang diwarisi keluarganya. Bagi adunan sekawah, beliau menggunakan adunan 24 kilogram gula kasar bersama nira kelapa pekat. Kuantiti itu mampu menghasilkan 250 keping nisey kerek.

NISEY KEREK
» Biasanya digunakan bagi menggantikan gula dalam sajian.
» Nira kelapa dimasak dalam kawah hingga ia jadi pekat.
» Kerap kacau bagi mengelak hangit.
» Bila siap, segera angkat dan letak dalam acuan daun mengkuang atau dipanggil juga kerek.
» Kerek diletakkan atas tikar mengkuang sebelum dituangkan nisey.
» Proses menuangkan perlu cepat supaya nisey kerek dihasilkan tidak rosak atau pecah.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya