Selain keenakan hidangan, keindahan reka bentuk dan keunikan seni hiasan dalaman sesebuah restoran turut menjadi faktor yang mampu menarik minat pelanggan untuk singgah menjamu selera.
Atas sebab itu, sebuah restoran di Bandar Baru, Gua Musang memilih konsep hiasan taman di samping membangkitkan suasana klasik dengan cara mempamerkan barangan antik yang jarang ditemui.
Pemilik Restoran Dalam Taman D’ Tasik, Zakaria Daud, 61, berkata, idea untuk membuka restoran berkonsep taman, klasik serta santai itu tercetus kerana dia dan isterinya berkongsi minat sama terhadap barangan antik.
Katanya, koleksi barangan antik peribadinya seperti mesin getah, tanduk kerbau, botol minuman dan pinggan mangkuk lama berusia lebih 60 tahun kini dijadikan bahan hiasan di restorannya.
“Saya mengumpul barang itu sejak lebih 30 tahun lalu daripada orang kampung. Sebagai contoh botol minuman lama jenama seperti Pepsi, Coca Cola, Mirinda, F&N atau 7UP, saya dapat secara percuma sahaja, tetapi kini orang berminat nak beli sehingga ratusan ringgit,” katanya.
Zakaria, pesara Jabatan Perhutanan berkata, setakat ini dia mempunyai sebanyak 200 botol minuman lama dan 100 pinggan klasik bunga kangkung.
Restoran bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang itu dibuka sejak lima tahun lalu selepas tapak restoran lama milik Zakaria di Jalan Gua Musang – Cameron Highlands musnah dilanda banjir besar pada 2014.
“Tiada yang lebih memilukan apabila melihat dengan mata sendiri restoran dipenuhi dengan barangan antik musnah sekelip mata setelah lima buah tong minyak diesel hanyut merempuh premis kami.
“Kejadian itu menyebabkan saya kerugian RM300,000 tetapi Alhamdulillah kini saya mampu bangkit kembali,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Norshamsiah Awang Lah, 37, mengakui sering menjamu selera di restoran itu bersama keluarga kerana tertarik kepada seni hiasan klasik dan suasana persekitaran dalam taman yang sukar ditemui di tempat lain.