Shah Alam – Balu Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali hari ini berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam berkaitan tuntutan faraid yang difailkanya 15 Julai lalu.
Jelasnya pembahagian faraid itu turut berlangsung dengan baik walaupun tanpa kehadiran ibu mertuanya Sabariah Arshad .
“Alhamdulillah, urusan faraid sudah selesai hari ini. Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah, pihak sana pun akan mendapat bahagian mengikut hukum syarak.
“Walaupun pihak sana, tak hadir tapi tidak mengganggu proses mahkamah sebab bahagian itu sudah ditetapkan,” katanya kepada Utusan Online.
Sementara itu Hidayah turut menjelaskan urusan faraid turut membabitkan harta peninggalan arwah suaminya termasuk rumah, kereta, wang tunai dan barangan peribadi.
Bagaimanapun, kata Hidayah, buat masa ini dia tidak boleh berkongsi sama ada akan kembali berpindah ke rumah peninggalan suaminya memandangkan bergantung kepada keputusan mahkamah.
“Pembahagian tersebut melibatkan rumah, kereta dan barang peribadi antaranya jam tangan, kasut, telefon bimbit dan kamera.
“Keputusan untuk berpindah ke rumah itu pun, tak tahu lagi. Tunggu urusan faraid ini diselesaikan. Nak dapatkan kereta semula pun, insya-Allah,” katanya.
Menyentuh isu kereta mewah Abam yang dikatakan sudah ditarik sebelum ini. Hidayah tampil menafikan dakwaan tersebut.
“Kereta kena tarik tak benar. Kereta masih ada. Tapi saya tak nak komen lebih lanjut. Nanti akan tahu juga,” katanya.
Dalam masa sama, Hidayah berkata, mahkamah sudah menetapkan tarikh baru pada Oktober depan mengenai tuntuhan hadanah.
Ia berikutan kegagalan pihak ibu mentuanya, hadir ke mahkamah.
“Saya harap selepas ini pihak sana akan hadir untuk kes hadanah,” katanya.
Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun tiga bulan