Tawakal pelengkap iman - Utusan Malaysia

Tawakal pelengkap iman

KONSEP tawakal yang betul dalam menghadapi peperiksaan adalah yakin kepada Allah dan berusaha dengan membuat ulangkaji bersungguh-sungguh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad

Ramai lagi dalam kalangan masyarakat yang salah faham tentang makna sebenar tawakal. Kekeliruan ini perlu diperbetulkan. Sebagai contoh, menghadapi peperiksaan. Keazaman untuk lulus dalam peperiksaan begitu kuat namun tidak disertakan dengan usaha.

Apabila ditanya apa yang kamu lakukan untuk berjaya. Dijawab dengan mudah tawakal.

Sebenarnya tawakal mempunyai dua syarat yang perlu dipenuhi ialah yakin dan berpegang kepada Allah dan yang kedua, melakukan semua asbab atau berusaha bersungguh-sungguh. Jika tidak disertakan dua syarat tersebut, maka tawakalnya tidak tepat.

Tawakal kepada Allah adalah sebesar-besar ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia menjadi syarat kepada iman dan Islam kerana peringkat tertinggi dalam melakukan amal soleh adalah tawakal.

Ia sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal. (ali-‘Imran: 122) Tawakal ini adalah amalan hati.

Dari sudut bahasa, tawakal bermaksud berpegang kepada yang lain bertujuan memudahkan urusan di samping menzahirkan kelemahan diri di hadapan-Nya. Jika disebut: “saya serahkan urusan saya kepada fulan” ia bermaksud kita percaya kepadanya dan yakin bahawa fulan tersebut mampu lakukan.

Dari sudut istilah ia bermaksud kebergantungan yang benar kepada Allah dalam memudahkan urusan, mendatangkan kebaikan dan menolak mudarat dunia dan akhirat. Justeru setiap hamba perlu betul-betul yakin kepada

Allah, reda dengannya dan tidak mengharapkan kepada manusia.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah jika benar kamu orang-orang yang beriman. (al-Maidah:23)

Apabila hati mukmin berpegang kepada Allah dalam urusan dunia dan akhirat maka keikhlasan akan terbit dan hubungannya dengan Allah makin kukuh. Keyakinan dan kepercayaan kepada Allah makin bertambah. Allah SWT menyuruh hamba-Nya bertawakal melalui beberapa ayat seperti berikut:

Allah berfirman tentang kisah Nabi Musa yang berkata kepada kaumnya: Nabi Musa berkata wahai kaum ku jika kamu semua beriman kepada Allah maka hendaklah kamu bertawakkal kepada-Nya jika betul kamu orang-orang Islam. (Yunus: 84)

Kelebihan sifat tawakal ialah Allah sayang kepada orang yang bertawakal. Firman Allah SWT yang bermaksud: jika kamu berazam untuk lakukan sesuatu maka bertawakal kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang bertawakal kepadanya. (ali-Imran: 159)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT menyatakan tawakal itu mencukupkan segala-galanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah maka Allah cukuplah baginya untuk menolong dan menyelamatkannya. (al-Talaq: 3)

Kelebihan tawakal juga ialah ganjaran syurga yang disediakan kepada 70,000 yang dianugerah masuk syurga tanpa hisab. Salah satu sifat mereka ialah bertawakal.

Allah SWT telah mengarahkan hamba-Nya yang terbaik iaitu Nabi SAW dengan tawakal. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Hendaklah kamu wahai Muhammad bertawakal kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi pelindung yang menyelamatkan kamu. (al-Ahzab: 48).

Semua rasul bertawakal kepada Allah. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap orang dari kami menjalanianya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan demikian maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang yang mahu berserah. (Ibrahim: 12)

Sesiapa yang mahukan kejayaan mestilah bertawakal kepada Allah. Mereka yang ditimpa musibah hendaklah bertawakal dan bersabar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad: tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami dan dengan kepercayaan itu maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal (al-Taubah: 51)

Tawakal juga penghalang utama daripada gangguan syaitan. Ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. (al-Nahl:99)

Justeru, dalam kehidupan yang mencabar pada hari ini marilah kita tingkatkan tawakal kepada Allah di samping melakukan tugasan dengan bersungguh-sungguh. Alangkah baiknya amalan seseorang jika ada sifat tawakal kerana banyak kelebihan yang diperoleh di dunia dan di akhirat.

Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan
Quran dan Sunnah, USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya