BEKERJA di tengah tanah lapang dalam cuaca panas terik membahang bukanlah sesuatu yang mudah, malahan menuntut kesabaran dan ketahanan fizikal tahap tertinggi.
Dunia korporat dan nikmat bilik berhawa dingin di pejabat sanggup ditinggalkan demi berbakti kepada tanah untuk memastikan tanaman rosel menjadi sumber rezeki baharu.
Itulah selingkar kisah permulaan perjuangan dua wanita yang layak digelar srikandi tani, Siti Suraya Sharif, 37, dan Farhana Nasrun, 34.
Kedua-duanya pernah menjawat jawatan di sebuah syarikat korporat di Lembah Klang selama beberapa tahun sebelum nekad meninggalkan pekerjaan yang memerlukan mereka menjaga penampilan diri dan berhias cantik setiap hari.
Siti Suraya yang merupakan lulusan Sarjana Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Johor berkata, tidak timbul isu sama ada menyesal atau tidak meninggalkan gaji ribuan ringgit kerana rezeki Allah telah tertulis.
“Pada mulanya saya menanam sepokok sahaja rosel pada November 2018. Apabila sudah besar dan berbuah, saya jadikan benih dan menyemai 200 pokok rosel.
“Apabila mula berbuah, saya dapati pokok rosel mampu mengeluarkan buah yang banyak.
“Saya kumpulkannya untuk dijadikan jus untuk keluarga dan jiran,” katanya ketika ditemui di kawasan rumahnya di Sorellicious di Kampung Johan Setia, Shah Alam Selangor.
Siti Suraya berkata, daripada detik itu terdetik dalam hati bahawa tanaman rosel mampu menjadi produk komersial yang diminati ramai.
Justeru, dia mengambil keputusan berani meninggalkan dunia korporat dan mengusahakan tanaman tersebut bersama Farhana sepenuh masa.
Beliau juga ingin membuktikan stigma wanita tidak sekuat lelaki dan setaraf dengan kaum Adam dalam bidang perladangan adalah salah setelah semua maskara dan gincu tidak lagi menjadi hiasan diri bila keluar bertugas.
“Kerja tengah panas dan berpeluh seluruh badan. Pakaian pun yang lusuh dan bertopi semata-mata. Tidak lagi pening memilih pakaian ke pejabat.
“Apa yang saya fokuskan adalah untuk menjadikan rozel produk minuman komersial termasuk mengedarkannya dalam botol sebagai minuman dan kordial untuk pengusaha komersial,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Farhana menganggap rosel bukan sahaja tumbuhan yang boleh menghilangkan dahaga tetapi mempunyai nilai perubatan dan kesihatan yang tinggi.
Jelasnya, khasiat rozel yang dikatakan mampu merawat sakit jantung membuatnya semakin bersemangat untuk terus terlibat dalam mengusahakan tanaman berwarna merah maroon tesebut.
“Sebelum ini saya bekerja di pejabat, hari-hari berpakaian cantik dan bersolek. Sudah pasti bila bertukar kerjaya cabarannya berbeza.
“Namun rezeki ada di mana-mana, kami bukan sahaja membuka kawasan tanaman rozel seluas kira kira suku ekar di sini malahan di kawasan Teluk Panglima Garang ada lagi seekar kawasan penanaman yang kami sewa,” katanya.
Komen orang sebagai pembakar semangat
Mengulas mengenai cabaran yang mereka berdua hadapi sebagai wanita ‘besi’ Farhana berkata, kata-kata negatif mahupun positif daripada orang luar mereka jadikan panduan namun apa yang penting berat mata memandang berat lagi bahu mereka memikul.
Beliau dan Suraya yang masing-masing mempunyai dua cahaya mata menjelaskan, setiap usaha untuk berjaya perlu pengorbanan wang ringgit dan masa.
“Sokongan keluarga amat penting untuk kami meneruskan usaha menjadikan rosel produk minuman yang menguntungkan malahan memberi manfaat kepada orang ramai dari sudut khasiat dan ekonomi,” katanya.
Beliau menambah, syarikat mereka, Sorrellicious Legacy masih baharu dan memerlukan rakan strategik untuk membantu dari sudut dana, kilang dan pemasaran.
Bagi yang berminat dengan perusahaan rosel boleh layari laman sosial mereka di Facebook: Sorrelicious
IG:Sorreliciouslegacy dan laman sesawang www.sorrelicious.com.