Selamatkan legasi, selamatkan jati diri! Simpulan yang belum mati - Utusan Malaysia

Selamatkan legasi, selamatkan jati diri! Simpulan yang belum mati

Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELOMBANG K-pop adalah contoh terbaik bagaimana sebuah gerakan berasaskan muzik mampu mengangkat martabat dan pengaruh sesuatu bangsa.
K-pop bukan sekadar genre muzik. Ia unsur penting kuasa lunak Korea Selatan dalam menyebarkan pengaruhnya ke seluruh dunia.
Kuasa lunak itu digelar gelombang Hallyu yang menjadikan bukan sahaja muzik, malah hampir seluruh sudut budaya Korea Selatan popular di serata dunia. Populariti ini kemudiannya dimanfaatkan negara itu untuk mengumpul laba politik dan ekonomi.
Malaysia dan negara-negara dalam rantau Nusantara juga ada potensi itu kerana Nusantara mempunyai khazanah budaya yang sangat kaya, termasuk dari segi muzik.
Mungkin itu impian besar Kharil Ridzwan Annuar atau dikenali sebagai Loque sejak kira-kira 20 tahun lalu. Dia menggali khazanah muzik Nusantara yang sekian lama tidak dipeduli.
Buat yang mengenali Loque, ‘projek Nusantara’ yang diperjuang jelas nampak bermula ketika kugiran Monoloque ditubuhkan.
Namun, ia sebenarnya boleh dijejak sejak penglibatannya dalam Butterfingers lagi.
Contohnya, dalam lagu Chrome yang dimuatkan dalam album pertama Butterfingers, 1.2 Miligrams (1996), elemen lagu rakyat Ikan Kekek ada dimasukkan.
Begitu juga dalam lagu Epitome dari album Transcendence (1999), bahagian pengenalannya menggabungkan elemen lagu rakyat Ketipang Payung, Senandong Kaseh (dari filem Bujang Lapok) dan bunyi gamelan.
Mungkin ia dilakukan tanpa kesedaran untuk mengangkat khazanah muzik Nusantara ketika itu tetapi dapat dilihat Nusantara itu sudah sebati dalam jiwa muzik Loque.
Baru-baru ini, Loque tampil dengan projek terbaharunya bersama Kimal dan NJWA, Selamatkan Legasi.
Lagu tersebut merupakan single ketiga daripada Projek Gamelan selepas Chinta (duet bersama NJWA) yang diterbitkan pada 2018 dan Urusan Seri Paduka Baginda (duet bersama Aizat Amdan) pada 2019.
Keseluruhannya, terdapat 20 lagu dalam Projek Gamelan yang mana 10 daripadanya menggabungkan gamelan dengan muzik kontemporari dan 10 lagi hanya unsur gamelan bersama nyanyian.
Lirik lagu Selamatkan Legasi dihasilkan En. Farid dari Muzium Diraja Pahang dan menurut Loque, lirik tersebut berkemungkinan berkisar tentang legasi koleksi gamelan milik Muzium Diraja Pahang yang sudah berusia 200 tahun.
“Gamelan itu ‘datang’ ke Pahang 200 tahun dahulu, kemudian pergi Terengganu dan kembali ke Pahang. Kini ‘bermastautin’ di Muzium Diraja Pahang,” kata Loque.
Selamatkan Legasi merupakan sebuah ‘lagu terbuang’ apabila versi asalnya yang dinyanyikan oleh Loque dirasakan tidak sesuai sehingga dikeluarkan daripada album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad Ke-21).
“Kami dah rakam lagu ini pada 2012 lagi. Saya fikir nak beri dia ‘roh’ atau jiwa baharu, jadi saya teringat Kimal.
“Lagu ini verse tinggi. Kalau guna suara saya memang tak kena, jadi saya jemput yang memang ada vokal tinggi, iaitu Kimal. Bahagian gamelan pula saya jemput NJWA,” terang Loque.
Bagi Kimal, kolaborasi ini merupakan satu penghormatan baginya yang sejak bangku sekolah menjadikan Loque sebagai inspirasi dalam muzik.
“Bagi saya ini satu perjuangan. Walaupun lagu ini tidak hit, kita berjuang untuk buat orang sedar dengan apa yang kita ada.
“Bagi saya, (mungkin) satu album boleh memberi inspirasi kepada satu generasi. Kadang-kadang, satu lagu boleh memberi inspirasi kepada seluruh golongan muda,” katanya apabila ditanya tentang harapannya terhadap Selamatkan Legasi.
Bagi Loque, Selamatkan Legasi boleh dikatakan sebagai kesimpulan kepada usahanya mengangkat muzik tradisional Melayu dan Nusantara yang bermula sejak kira-kira dua dekad lalu.
Namun, ikatannya bukanlah ikatan mati. Masih banyak khazanah muzik rantau ini yang mahu diterokanya.
“Tak akan berhenti selagi kita boleh berkarya. Selain hasilkan lagu baharu dan masukkan elemen Nusantara, satu lagi cara adalah dengan kita gubah lagu orang lain. Bukan untuk rosakkan, tapi buat dalam bentuk yang lain.
“Budak muda bukan tak minat untuk buat begini, tapi mungkin mereka takut. Mungkin ilmu muzik belum khatam, takut orang kecam. Kita tebal muka saja.
“Purist akan selalu sangkal tapi kita kena berani berbalah, berhujah. Kita buat itu bukan niat nak mengejek, kita bangga untuk beri penghargaan,” kata Loque. – Rondivu, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya