PEMBEDAHAN injap jantung yang dijalani ketika penghujung perkhidmatan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyebabkan Rozalin Basiron, 44, tidak lagi boleh memerah keringat melakukan kerja yang terlalu berat.
Menjelang hari persaraannya pada 2015, bekas Pegawai Waran I itu tahu dia perlu mencari alternatif untuk melakukan pekerjaan lain memandangkan ketika itu usianya baru 39 tahun.
Puas mencari jawapan apa yang boleh dilakukannya, mujur suri hatinya, Rozihan Mohamad Aris, 44, yang juga pesara TLDM terlintas idea agar Rozalin mempelajari cara-cara pembuatan kapal hiasan mini yang menggunakan polisterin.
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, jika diikutkan hati, dia tahu dia memang tidak berminat dengan kerja-kerja yang memerlukan ketelitian, kesabaran dan daya kreativiti yang tinggi.
“Isteri tetap memberi semangat kepada saya untuk belajar buat kapal dengan polisterin atau gabus. Kebetulan seorang rakan satu skuad memang sudah lama menceburi bidang itu dan saya buat keputusan untuk belajar dengan beliau.
“Kami pergi ke Lumut, Perak semata-mata untuk belajar dengan beliau. Saya lihat dia lakukan kerja-kerjanya dengan penuh teliti. Sejurus pulang ke rumah saya terus mendapatkan bahan-bahan berkaitan untuk cuba menyiapkan sebuah kapal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
REKAAN IKUT KAPAL SEBENAR
TELITI… Rozalin Basiron memberi sepenuh tumpuan dalam menghasilkan replika kapal APMM untuk dijadikan sebagai cenderamata.
Dalam tempoh seminggu, anak jati Masjid Tanah itu berjaya menghasilkan sebuah kapal peronda TLDM yang dahulunya dia tidak terfikir boleh diterjemahkan dalam bentuk jauh lebih kecil walaupun 21 tahun berada di atas versi sebenar kapal itu.
Tidak mahu menoleh ke belakang lagi, Rozalin terus mengorak langkah mengkomersialkan ciptaannya yang dibentuk sepenuhnya mengikut kapal sebenar di lautan.
Meskipun pernah menyarung seragam TLDM, Rozalin kini lebih banyak menerima tempahan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjadikan replika aset-aset mereka sebagai cenderamata.
“Sejak terlibat dalam bidang ini, saya sudah menghasilkan kira-kira 500 unit pelbagai versi kapal termasuk kapal perang, bot peronda, kapal dagang dan lain-lain pengangkutan di laut.
“Alhamdulilah isteri dan anak-anak amat menyokong hasil kerja saya dan mereka juga sanggup ikut menghantar tempahan kepada pelanggan sekiranya kapal hiasan itu tidak dikirim menggunakan khidmat pos,” ujarnya.
Rozalin berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya dua hari sehingga dua minggu untuk menyiapkan sesebuah kapal bergantung kepada jenis tempahan daripada pelanggan.
“Jika rekaan versi Kapal Peronda Generasi Baru (NGPC) dan Bot Penggalang milik Maritim Malaysia saya boleh menyiapkan dalam jangka masa singkat kerana sudah biasa melakukannya.
“Tetapi, sekiranya kapal tersebut pertama kali dihasilkan saya memerlukan masa untuk meneliti gambar yang dikirim pelanggan agar kualiti dan ciri-ciri seperti di atas kapal sebenar saya dapat muatkan dalam versi kapal mini ini,” katanya.
TIADA KEDAI KHUSUS JUAL AKSESORI
Selain menggunakan polisterin, Rozalin berkata, dia sering berkunjung ke kedai-kedai serbaneka, kedai alat tulis dan kedai jahitan untuk mendapatkan aksesori kapal yang boleh menyamai versi sebenar.
Katanya, tiada kedai khusus yang menjual kelengkapan tersebut dan jika terjumpa apa-apa aksesori yang bersesuaian dia terus membeli dalam kuantiti yang banyak agar tidak terputus bekalan.
Malah, Rozalin juga kadang-kala terpaksa mengubah suai beberapa barangan terpakai untuk dijadikan aksesori kapal hiasan rekaannya termasuk penutup botol gam.
Bagi menjadikan struktur kapal nampak lebih berkualiti terutamanya bahagian haluan kapal, dia turut menggunakan simen putty filler untuk membentuk bahagian tersebut.
Selain itu, lidi satay, dawai, kad keras, kertas stiker, cat dan peralatan-peralatan tertentu antara yang akan menemani Rozalin setiap kali dia berkarya di ‘limbungan’ atau dock peribadi miliknya di bahagian tengah rumah.
“Kabus akan dibentuk sebelum dicantum dan dilekat kad keras serta kertas stiker agar kelihatan kemas, selepas itu baru diletakkan aksesori seperti sistem persenjataan serta nombor kapal.
“Proses yang terakhir adalah menyembur warna badan mengikut ciri kapal sebenar,” katanya sambil menyiapkan 31 buah tempahan lagi daripada Maritim Malaysia untuk dijadikan cenderamata kepada golongan kenamaan dan pegawai yang akan bersara.
FOKUS KEPADA KAPAL LAUT
Kemahiran yang dimiliki Rozalin membolehkan dia kini menjadikan ciptaan-ciptaan tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Walaupun kapal-kapal rekaannya hanya terdampar di sebalik kaca cermin sebagai perhiasan, Rozalin berkata, bidang itu mempunyai peminat yang tersendiri termasuk anggota badan beruniform, kapten dan krew kapal serta pengumpul hasil seni itu.
“Saya ada juga menghasilkan replika lain seperti kenderaan-kenderaan ketenteraan tetapi saya mahu fokus kepada penghasilan kapal laut dahulu buat masa ini sambil kadang-kala berkebun sikit-sikit pada waktu petang untuk mengeluarkan peluh,”
katanya.