Perjalanan setiap anak seni berbeza. Ada yang sayap ditebar luas, merentasi langit biru. Ada juga yang kecundang, hanya mampu melihat jauh panji kejayaan yang dikibar rakan-rakan seperjuangan. Nasib dan rezeki setiap kita berbeza.
Baru bertapak dalam industri, penyanyi baharu, Aidil Maula sedar kejayaan tidak datang bergolek. Usaha, kerja keras dan tawakal adalah modus operandi yang perlu dikemas. Dia tahu, apa sahaja percaturan perlu ada kesabaran dan kecekalan.
Tampil dengan single pertama, Pedih, lagu yang dicipta sendiri bersama rakan, Tengku Adry Putra menjadi pertaruhan. Lagu melankolik yang sarat dengan lirik dan persembahan jiwa berat, sejujurnya lagu ini mampu ‘terbang tinggi’.
“Memang saya nak jadi artis sejak kecil. Macam-macam pertandingan saya sertai. Pernah juga cuba beberapa program realiti tetapi tidak ada rezeki. Jadi, saya kumpul semangat dan wang untuk realisasikan hasrat bergelar penyanyi.
“Saya ada kenal beberapa rakan artis yang lain, tetapi saya tak mahu menunggang populariti mereka. Biar saya berdiri sendiri dan belajar susah senang bergelar anak seni. Alhamdulillah, mereka sentiasa beri sokongan.
“Sepatutnya single ini dilancarkan awal tahun tetapi kita tangguh dahulu kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Alang-alang ulang tahun kelahiran saya juga jatuh pada Ogos, jadi saya lancarkan single Pedih,” katanya.
Membuka lembaran cerita bagaimana Pedih akhirnya menjadi buah tangan pertamanya, Aidil sebenarnya sudah tiga tahun menyimpan rapi karya tersebut. Pertemuannya dengan rakan komposer mencetuskan idea untuk merealisasikannya.
Lirik lagu Pedih cukup dekat di hatinya. Mana tidaknya, lagu ini adalah susur galur kisah cinta Aidil sendiri yang tidak kesampaian. Kesakitan putus cinta diterjemah dalam lagu itu.
“Apabila patah hati, seperti biasa saya akan bertemu rakan dan meluahkan perasaan.
“Kebetulan di situ ada piano dan saya secara rawak memainkan melodi Pedih. Tiba-tiba boleh jadi lagu.
“Saya dibantu oleh rakan-rakan lain yang sentiasa bersama menyempurnakan Pedih. Saya juga ada masuk kelas vokal bersama Adeep Nahar,” kata anak kelahiran Johor ini.