Hanya 10 minit saring TB - Utusan Malaysia

Hanya 10 minit saring TB

Prof. Dr. Nor Azah Yusof menerangkan kaedah TB Reader mengesan bakteria batuk kering.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta dua inovasi –TB Strip dan TB Reader – bagi menyaring dan mengesan penyakit batuk kering atau tuberculosis (TB).

Ketua kumpulan penyelidiknya, Prof. Dr. Nor Azah Yusof berkata, kedua-dua inovasi itu menggunakan kahak untuk menyaring dan mengesan bakteria TB di dalam tubuh seseorang.

Beliau berkata, saringan cara TB Strip dilakukan melalui kaedah ujian antigen dengan menggunakan kahak individu berkenaan yang diletakkan di atas sampel pad.

Kahak kemudian akan bergerak ke arah pad konjugat yang seterusnya menghasilkan dua garisan iaitu garisan bawah yang dipanggil test line dan garisan di sebelah atas yang dipanggil control line.

Sekiranya pergerakan kesan daripada kahak itu berada pada control line sahaja, individu berkenaan adalah negatif TB, manakala jika pada test line dan control line ia adalah positif.

“Keputusan sama ada seseorang itu negatif atau positif TB boleh diketahui dalam masa antara 10 dan 15 minit dengan menggunakan kaedah ini. Kos bagi satu kali pemeriksaan adalah kira-kira RM5,” katanya.

Dr. Nor Azah yang juga pensyarah di Fakulti Sains berkata, TB Strip adalah bagi tujuan penyaringan dan seseorang boleh membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

Katanya, kajian membangunkan TB Strip dimulakan lima tahun lalu dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Krian, Kelantan dan Institut Perubatan Respiratori, Kementerian Kesihatan.

Inovasi itu memenangi pingat emas pada Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2019.

Sementara itu, TB Reader pula adalah inovasi bagi mengesan bakteria TB menggunakan kaedah elektro kimia.

Dr. Nor Azah berkata, inovasi itu akan mengesan sekiranya ada perubahan arus daripada sampel kahak yang diuji.

Katanya, kaedah TB Reader adalah lebih sensitif, dan kesimpulan sama ada seseorang itu positif atau negatif TB dibuat berdasarkan perubahan arus itu.

TB Reader boleh dihubungkan ke komputer riba atau telefon bimbit menggunakan teknologi Bluetooth.

Inovasi TB Reader untuk mengesan bakteria penyakit batuk kering.

 

Keputusan pengesanan bakteria akan dipaparkan pada skrin telefon bimbit sama ada yes atau no tanpa perlu untuk melihat kepada perubahan arus.

Beliau berkata, inovasi itu menggunakan teknologi nano, dengan meletakkan bahan nano ke atas elektrod yang membuatkan ia lebih peka dalam mengesan bakteria.

Katanya, keputusan ujian pengesanan dapat diketahui dalam masa kira-kira satu setengah jam. Kos bagi satu ujian pengesanan adalah kira-kira RM20.

TB Reader mula dibangunkan lima tahun lalu dengan kerjasama USM Kubang Kerian dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), serta Persatuan Pencegah Batuk Kering Sabah (SABATA) Penampang.

Turut bersama Dr. Nor Azah dalam kumpulan itu ialah penyelidik bersama Prof. Madya Dr. Siti Suraiya M.d Noor dari USM Kubang Kerian dan Prof. Madya Dr. Ammar Zakaria (UniMAP) serta pelajar PhD UPM, Umi Zulaikha Mohd Azmi dan Muhammad Hafiznur Yunus.

Inovasi ini memenangi tempat ketiga dalam Business Health Competition 2019. Kedua-dua TB Strip dan TB Reader telah dipaten. Kajian kini berada di peringkat klinikal lanjutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya