OrphanCARE ‘selamatkan’ bayi - Utusan Malaysia

OrphanCARE ‘selamatkan’ bayi

Yatt Ahmad menunjukkan tempat khas meninggalkan bayi di OrphanCARE di Petaling Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecaman terhadap penubuhan peti perlindungan bayi atau baby hatch kian pudar apabila hingga kini ia terbukti dapat menyelamatkan bayi yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan daripada dibuang.

Pegawai Perancangan dan Pembangunan Yayasan OrphanCare, Yatt Ahmad berkata, sejak diperkenalkan pada 2009, ia berjaya menyelamatkan 373 bayi tidak dan diserahkan kepada keluarga angkat.

Katanya, angka berkenaan mungkin meningkat berikutan pusat itu semakin dikenali.

“Pada tahun lepas saja, seramai 17 bayi diselamatkan Yayasan OrphanCARE. Ia meliputi enam bayi di tinggalkan di peti perlindungan bayi (baby hatch), enam menerusi program keibubapaan kami untuk bakal ibu serta lima yang datang membuat serahan secara bersemuka kepada pegawai kami,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bermula dengan sebuah baby hatch di Petaling Jaya, ia kini memiliki cawangan di Sungai Petani, Kedah dan Johor Bahru, Johor dan 12 cawangan baharu telah pun dibuka.

Yatt berkata, berdasarkan pengamatan mereka, September dan November antara waktu kerap menerima bayi.

“Biasanya sebelum musim perayaan antara waktu kebiasaan kami terima bayi. Jadi angka itu dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Melihat kepada insiden pembuangan bayi yang tetap berlaku sungguhpun pusat berkenaan tersedia sebagai pilihan, kata Yatt, OrphanCARE sangat menggalakkan mana-mana ibu yang terlanjur agar meninggalkan bayi mereka dalam peti khas baby hatch demi keselamatan dan masa depan anak itu.

“Tolonglah jangan berfikiran singkat dengan membuang bayi di mana-mana atau lebih kejam lagi, membunuh anak itu seperti yang banyak kita lihat berlaku selama ini.

“Kami di sini sedia membantu dan kami tidak mengenakan sebarang bayaran atau syarat tertentu. Jangan takut,” katanya.

BUKAN JENAYAH

OrphanCARE menjalankan program pengambilan anak angkat bagi pasangan yang tidak mempunyai cahaya mata. 

Menurut Yatt, meninggalkan bayi dalam peti khas itu bukan perbuatan jenayah dan individu yang berbuat demikian tidak akan didakwa.

Beliau tidak menafikan ada dalam kalangan wanita terbabit takut untuk meninggalkan bayi mereka dalam baby hatch kerana bimbang ditahan pihak berkuasa atau dikenakan hukuman.

“Tanggapan itu tidak benar sama sekali, sebaliknya mereka boleh dikenakan hukuman jika meninggalkan bayi itu terdampar di tempat lain,” katanya.

Yatt menegaskan ibu yang berhasrat meninggalkan bayi mereka dalam baby hatch, perlu meletakkan bersama identiti atau pengenalan agama masing-masing jika mahu anak itu kekal dalam agama yang ibunya anuti.

Program kendalian Yayasan OrphanCARE itu, bukan setakat menerima bayi tetapi turut menawarkan perlindungan kepada bakal ibu yang tidak ada tempat bergantung sehingga selamat melahirkan bayi.

Bayi itu kemudiannya akan diserah kepada keluarga angkat bagi memberi sinar baharu dengan meneruskan hidup bersama keluarga angkat.

Setakat ini dianggarkan lebih 50 suami isteri berada dalam senarai menunggu untuk mengambil bayi di selamatkan OrphanCARE sebagai anak angkat.

Kata Yatt, pusat berkenaan turut bertanggungjawab menyediakan khidmat kaunseling kepada semua wanita yang tampil untuk mendapatkan perlindungan, khususnya aspek penyerahan bayi sebagai anak angkat.

“Walaupun kami sedaya upaya mahu ibu terbabit membesarkan sendiri bayi masing-masing, namun OrphanCARE perlu realistik dan mengambil pendekatan pragmatik.

“Ada dalam kalangan wanita itu tidak mampu membesarkan bayi mereka atas pelbagai faktor. Antaranya ketiadaan punca pendapatan tetap atau terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.

“Justeru keluarga amat berperanan memberi sinar kepada si kecil,” tambahnya.

Begitupun kata Yatt, hasil kaunseling kepada si ibu, mendapati 89 peratus daripada responden yang awalnya mahu menyerahkan bayi kepada OrphanCare mengubah fikiran dan nekad mahu membesarkan anak itu dengan sebaik mungkin.

“Kami sebolehnya tidak mahu memisahkan anak itu daripada ibu kandung masing-masing, namun jika keadaan memaksa, proses penyerahan sebagai anak angkat akan dilakukan mengikut prosedur sepatutnya,” katanya.

Pasangan suami isteri yang berhasrat mengambil anak angkat melalui OrphanCARE perlu mendaftar bagi diletakkan dalam senarai menunggu.

Jelas beliau, garis panduan tertentu perlu dipatuhi oleh pasangan suami isteri yang berhasrat mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

“Antara kriteria yang kami tekankan ialah pasangan yang sudah memiliki anak lelaki hanya dibenarkan mengambil bayi lelaki juga sebagai anak angkat.

“Ini adalah langkah pencegahan yang kami laksanakan bagi mengelak sebarang kes sumbang mahram,” jelasnya.

Peraturan itu bagaimanapun tidak terpakai kepada pasangan suami isteri yang memiliki anak perempuan.

“Pasangan dengan anak perempuan boleh memilih jantina bayi yang mereka inginkan sebagai anak angkat,” katanya.

Menurut Yatt, mereka sudah menguruskan lebih 200 proses penyerahan anak angkat dengan keutamaan diberikan kepada pasangan suami isteri yang belum mempunyai zuriat.

ORPHANCARE
» Alamat: No.6, Lorong SS 1/24 A, Kampung Tunku , 47300 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
» Telefon: +6 03 7876 1900
» Laman web: www.orphancare.org.my
» E-mel: [email protected]

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya