KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali cuba mendapatkan jawapan balas, akhirnya pelakon dan pendakwah, Haris Ismail tampil menjelaskan hubungannya dengan pengacara popular, Neelofa hanya atas dasar kerja semata-mata.
Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz berkata, dia sudah lama bekerjasama dengan Neelofa dan tidak ada soal hati atau perasaan hadir antara mereka seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
“Sebelum ini saya juga pernah bagitahu, Neelofa hanya rakan kerja. Malah tidak ada soal hati dan perasaan. Saya hanya mahu sampaikan dakwah, tidak lebih daripada itu.
“Kalau hendak jawapan lain, saya tidak boleh bagi. Saya juga konsisten dengan jawapan sama. Saya juga sudah lama bekerjasama dengan Neelofa,” katanya.
PU Riz ditemui usai tayangan perdana filem Ada Apa Dengan Dosa yang menampilkan gandingan bersama pelakon Wanna Ali, Ashraf Muslim dan Fasha Sandha.
Dalam pada itu, PU Riz juga menafikan khabar angin dia sering lari daripada media kerana tidak mahu memberi sebarang kenyataan berhubung desas desus itu.
“Tidak ada lari pun. Kalau hendak terjah, boleh datang ke sekolah sebab saya sedang menjalani latihan praktikal sebagai guru.
“Kalau warganet nak cakap atau mencetuskan spekulasi, saya tidak ada kuasa untuk halang. Saya cuma mahu berdakwah dan kalau boleh, tidak mahulah ada kontroversi.
“Saya juga tidak ada masalah untuk bekerja sama dengan Neelofa. Saya mahu kumpul saham akhirat dan menyebarkan dakwah, itu sahaja,” katanya.