KUALA LUMPUR- Pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah bakal menamatkan zaman bujangnya malam ini dengan pilihan hati, Wan Emir Astar Wan Mohd Khair-il Anuar di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.
Mira atau nama sebenarnya, Nuramira Filzah Badioezaman, 27, mula mengedarkan jemputan majlis perkahwinannya menerusi aplikasi Whatsapp kepada rakan media semalam.
Pelakon Bidadari Kiriman Tuhan menerusi satu temubual berkata, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar dan gusar menjelang detik ijab kabul itu.
“Sebagai seorang bakal pengantin, saya akui perasaan agak bercampur baur dengan rasa risau dan gementar.
“Namun saya bersyukur kerana segala persiapan berjalan dengan lancar, Insya-Allah,” jelas Mira dalam program Malaysia Hari Ini sewaktu majlis khatam Al- Qurannya yang diadakan bersama adiknya Ahad lalu.
Dalam pada itu, pemegang trofi Bintang Paling Popular 2019 ini berkata, dia terbuka hati untuk menerima lamaran Wan Emir kerana sifatnya yang bertanggungjawab dan disenangi orang sekeliling.
“Saya dapat lihat dia sebagai bakal suami dan juga bakal bapa kepada anak-anak saya kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Mira turut mengumumkan stesen televisyen TV3 akan menjadi media rasmi untuk menyiarkan detik bersejarahnya.
“Pihak TV3 akan membuat lintas langsung bagi majlis perkahwinan saya dan Emir pada malam ini dan menjadi platform untuk kemas kini langsung sepanjang acara berjalan,”katanya lagi.
Pada Julai lalu, Mira mengesahkan dia dan Wan Emir yang juga anak sulung kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Yazid telah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.