Oleh NORADILA MAHAMAD
Masjid Kampung Seberang Takir di Kuala Nerus merupakan satu lagi mercu keindahan Islam baharu di Terengganu.
Kedudukannya yang bersebelahan Jeti Penambang Seberang Takir dan berhampiran jambatan angkat atau drawbridge, sekali gus turut menjadikan masjid ini sebagai tarikan pelancong.
Pengerusi masjid, Zakaria Dagang (gambar) berkata, sejak dibuka pada Jun lalu pihaknya menerima kunjungan kira-kira 1,000 orang terutama pada hujung minggu berikutan gambar-gambar keindahan masjid berkenaan yang tular di media sosial.
Katanya, masjid yang dibina dengan kos RM2 juta bagi menggantikan bangunan lama yang usang itu mendapat sentuhan arkitek dan kontraktor anak tempatan dengan mengetengahkan konsep kesenian Terengganu.
“Reka bentuk masjid menampilkan kesenian tradisi terutama kubahnya yang menggunakan bumbung limas namun ada kalanya ia disangka piramid oleh pengunjung.
“Konsep kesenian Terengganu yang ditonjolkan di masjid ini sekali gus mengangkat warisan budaya lama malah kita juga memiliki galeri yang dinamakan Galeri J.M Aziz sempena nama seorang aktivis sastera kelahiran negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Masjid Kampung Seberang Takir dibina pada zaman pemerintahan Menteri Besar Terengganu ketujuh, Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dan idea pembinaan semulanya dicetuskan Menteri Besar Ke-14, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.