Lebih lima tahun menyepi, kini kumpulan, Klangit kembali mencuba mencuri hati peminat seni muzik tempatan. Namun, mereka tahu cubaan itu bukan mudah. Harus diselari dengan strategi dan usaha yang bukan biasa-biasa.
Diaju soalan mengapa mereka mengambil tempoh separuh dekad untuk hibernasi, sambil tersenyum perlahan mereka melontar jawapan. Tiada istilah merajuk dengan industri atau salah faham, mereka ada alasan sendiri.
Sementelah, ‘kehilangan’ mereka dalam industri menimbul desas desus kononnya mereka mempunyai masalah dalaman sesama sendiri. Perkara itu tidak menghairankan, banyak kumpulan tumpas dalam kekal berkumpulan.
Menolak persepsi itu, jelas Ary selaku vokalis mengakui kehidupan peribadi masing-masing menjadikan mereka seperti alpa masa pantas berputar. Lima tahun berehat langsung tidak dirasai. Maka, sekarang masa sesuai untuk kembali.
“Tidak ada isu bergaduh dengan syarikat rakaman lalu atau kami berpecah kerana salah faham. Klangit masih dianggotai ahli yang sama. Mungkin kerana masing-masing ada yang berkahwin, sambung belajar dan berniaga, jadi kami alpa sebentar.
“Lagipun kami tidak jumpa material yang sesuai sehinggalah idea menghasilkan lagu Aku Masih Di Sini muncul. Keberanian itu terus ada dan kami sepakat buat keputusan untuk kembali berjuang dalam dunia seni,” kata Ary.
Mengakui Klangit lebih dewasa kini, Ijan selaku drummer tidak menolak trend muzik dan lirik Klangit juga berubah mengikut arus muzik. Apatah lagi, muzik dinihari ada yang bertahan cuma sebulan dua sahaja.
“Kami sangat pentingkan kualiti. Tak nak keluar lagu syok sendiri dan hentam kromo. Sebab itu kita fokus konsep sama tetapi lebih dewasa dan berat. Malah penulisan lirik juga santai sesuai dengan permintaan peminat,” katanya.