Kutipan turun, LZS potong elaun masjid, surau - Utusan Malaysia

Kutipan turun, LZS potong elaun masjid, surau

MEMBAYAR zakat kepada institusi zakat seprti Lembaga Zakat Selangor dapat membantu meningkatkan agihan kepada asnaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini tersiar di media, elaun masjid di Selangor dipotong. Berita itu menimbulkan perdebatan. Di manakah logiknya ia dipotong. Ada pihak dengan nada sarkastik membidas, demikianlah nasib institusi agama Islam. Tidak habis-habis ditimpa malang.

Lebih menyedihkan kerana ia berpunca daripada tindakan pengurusan zakat. Maka ada yang berhujah, pusat zakat sepatutnya membantu institusi agama. Apa lagi masjid dan surau adalah rumah Allah SWT. Masakan rumah Allah SWT dibiarkan tanpa dana.

Sebenarnya, tidak sukar untuk membaca naratif di sebalik semua ini. Senarionya sejernih air di dalam akuarium. Begini plotnya. Apabila pandemik Covid-19 melanda, ia sangat menganggu perekonomian, baik lokal mahu pun global. Kesannya, banyak syarikat rugi besar. Banyak perniagaan ditutup. Ramai diberhentikan kerja. Pengangguran meningkat. Ringkas bukan?

Tetapi, apa kaitannya dengan zakat? Ya, kesan berantai fenomena ini kepada zakat ada dua. Pertama, jumlah pembayar zakat (termasuk kutipan zakat) akan menurun. Kedua, jumlah penerima zakat pula akan meningkat. Jika diibaratkan graf, ia adalah graf yang bersilang. Agihan menukik ke atas, kutipan menjunam ke bawah.

Dalam agihan zakat, Islam mempunyai keutamaannya. Allah SWT menggariskannya di dalam al-Quran, surah at-Taubah ayat ke-60. Ada lapan asnaf dan Allah SWT membahagikannya kepada dua golongan. Golongan pertama yang diutamakan, dan golongan kedua yang ditakhirkan. Istilah fikahnya, asnaf muqaddam dan asnaf muakkhar.

Asnaf muqaddam terdiri daripada fakir, miskin, amil (pengurus zakat) dan mualaf (dilunakkan hatinya kepada Islam). Asnaf muakkhar pula terdiri daripada riqab (hamba atau orang yang terbelenggu), gharimin (orang berhutang), fisabilillah (berjihad di jalan Allah) dan ibnu sabil (orang yang ketiadaan belanja dalam perjalanan).

Apabila berlaku sesuatu peristiwa luar jangka hingga mengganggu kutipan zakat, pengagihan zakat juga terganggu. Kita ibaratkan seperti pintu yang mempunyai lapan daun pintu, maka apabila ada keperluan mengelakkan mudarat yang lebih besar, maka pintu itu akan ditutup satu persatu.

Pintu yang perlu ditutup lebih awal ialah pintu ibnu sabil, kedua (pintu fisabilillah), ketiga (pintu gharimin), keempat (pintu riqab), kelima (pintu mualaf), keenam pintu amil, ketujuh sudah tentu (pintu miskin) dan kelapan (pintu fakir). Dengan ini, fakir dan miskin menjadi golongan yang paling lambat terkesan.

Fuqaha membahagikan keperluan manusia mengikut tahap tertentu. Imam as-Syatibi misalnya, membahagikannya kepada tahap daruriyat (asasi), hajiyat (kesenangan dan kemudahan) dan tahsiniyat (kesempurnaan hidup).

Dalam kondisi kutipan zakat yang menyusut, pusat zakat tidak mampu menampung perkara-perkara bersifat tahsiniyat. Memberi elaun masjid dan surau adalah perkara tahsiniyat.

Masjid dan surau masih mempunyai sumber pendapatannya sendiri. Oleh itu, pihak pengurusan zakat tidak boleh dipersalahkan atas keputusan ini.

Ia adalah suatu tindakan yang betul, memandangkan golongan fakir dan miskin adalah kumpulan manusia paling terjejas dengan kemelut ekonomi hari ini.

  • Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Sekretariat Dakwah dan Dai Lembaga Zakat Selangor (LZS). Beliau boleh dihubungi di [email protected].
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya