BUAT yang pertama kali mendengar Dewataraya, pasti tidak menyangka vokalisnya baru berumur 26 tahun.
Corak vokal dan gaya nyanyian Nawi tidak menggambarkan usianya sehingga ada yang menyamakan suaranya dengan seniman legenda, Datuk M. Nasir!
Namun bagi kugiran itu, ia hanyalah persamaan yang tidak disengajakan dan mereka mengambil perkara itu sebagai sesuatu yang positif.
Dewataraya ditubuhkan pada Februari 2019 selepas Nawi memenangi Singer-Songwriter Competition anjuran Atas By BijanFX. Daripada anggota asalnya seramai tiga orang, mereka kini berkembang ke enam anggota.
Nawi (vokal); Najmi (gitar); Hakim (bass); Adiel (dram); Aqmal (gitar) dan Zahar (perkusi) mempertaruhkan genre folk yang diadun bersama rock progresif sebagai identiti kugiran mereka.
Satu pertaruhan yang berani memandangkan ia satu genre yang agak asing di Malaysia dan buat kugiran yang sekadar menyalin tampal gaya muzik kugiran lama yang bermain genre sama, mereka berisiko tampil tua sebelum usia.
Namun, apa yang dilakukan oleh Dewataraya adalah rejuvenasi dan lokalisasi terhadap genre folk dengan memasukkan elemen rock progresif.
Mereka memasukkan semangat dan jiwa anak muda serta Malaysia ke dalam gubahan dan langkah itu berjaya menampilkan kesegaran.
“Rancangan Dewataraya memang untuk tampil berbeza,” kata Hakim yang kemudiannya disambut Nawi dengan berkata: “Apa yang kami cuba adalah menampilkan kelainan dari segi muzikaliti. Kami cuba guna kord yang berbeza dan tidak dijangka”.
Mengakui itu satu cabaran besar kerana bunyi yang baharu pastinya tidak mesra pada telinga pendengar namun bagi mereka, itu adalah sebahagian daripada perjuangan muzik.
Satu lagi ciri yang unik dan menyerlah pada Dewataraya adalah lirik mereka yang berkisar hal-hal yang jarang dilagukan.
Contohnya dalam lagu Timur, Nawi sebagai penulis lirik cuba untuk mengetengahkan persoalan wibawa Malaysia sebagai negara yang sering dipandang rendah.
“Waktu itu aku rasa tak puas hati sebab apabila orang sebut timur, orang akan pandang Jepun. Kenapa tak pandang Malaysia?
“Lagu itu mesejnya begitu, supaya kita sendiri boleh lihat apa silap kita sehingga negara tidak dipandang orang,” katanya.
Dewataraya setakat ini telah mengeluarkan satu Live EP yang memuatkan lima lagu sementara tiga daripadanya dikeluarkan dalam bentuk rakaman studio.
Mereka merancang untuk menyelesaikan pembikinan album pertama pada tahun hadapan yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Untuk album tersebut, lebih banyak eksperimentasi akan dilakukan.
“Kami nak cuba masukkan bunyian baharu daripada instrumen berbeza. Mungkin ada elemen piano atau synthesizer,” jelas Nawi.
Dewataraya baru sahaja melancarkan single mereka, Masa Dan Rasa versi rakaman studio pada 11 September lalu.
Bagi mereka, Masa Dan Rasa cukup istimewa kerana lagu itu yang mempertemukan mereka berenam sehingga tertubuhnya Dewataraya.
“Masa Dan Rasa adalah penyebab wujudnya Dewataraya. Kalau tiada lagu itu, mungkin tiada Dewataraya,” kata Najmi.
Walaupun lagu tersebut adalah lagu pertama mereka, ia mengambil tempoh yang lama untuk dilancarkan.
Ini kerana lagu tersebut mempunyai banyak versi yang sentiasa ditambah baik bagi memastikan kualiti terbaik di telinga mereka dapat dicapai.
Menurut Nawi, Masa Dan Rasa adalah lagu mereka yang paling kompleks kerana hasil akhirnya mengandungi banyak lapis penambahbaikan.
Setakat ini, Dewataraya masih berusaha keras bagi menambah bilangan pendengar. Bagi kugiran ini, mereka hanya mahu karya didengar sebanyak mungkin manusia kerana itu adalah kemuncak kepuasan sebagai pengkarya.
Namun, memandangkan setiap mereka bukanlah pemuzik sepenuh masa, jalan yang dilalui agak berliku dan penuh halangan.
“Kalau lihat genre, mungkin susah orang nak terima. Lagipun, peminat di Malaysia agak terpisah-pisah mengikut genre. Setiap genre itu ada komunitinya.
“Kami nak berhubung dengan mereka yang mahu dengar lagu Dewataraya. Kami akan terus guna media sosial untuk berkongsi karya memandangkan peluang persembahan dah semakin kurang sekarang,” kata Nawi. – Rondivu, Mingguan Malaysia
Kesegaran tajaan Dewataraya
- Oleh KU SYAFIQ KU FOZI
- 27 September 2020, 4:45 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Perisyaitan Zionis, membisu takut
2 Jun 2024, 6:30 pm
100 lagu terbaik 2023 pilihan Rondivu
31 Disember 2023, 3:17 pm
Album/EP Terbaik 2023 Pilihan Rondivu
24 Disember 2023, 2:17 pm