Kepelbagaian zakat emas - Utusan Malaysia

Kepelbagaian zakat emas

DI SELANGOR, mereka yang memiliki emas perhiasan melebihi 800 gram wajib mengeluarkan zakat. -Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Hamizul Abdul Hamid

Emas adalah antara item terawal dalam zakat harta dan disebut dengan jelas di dalam al-Quran mahu pun al-hadis. Kewujudan emas itu juga adalah pelbagai, sama ada dalam bentuk matawang (dinar), ataupun dalam bentuk simpanan mentah (jongkong), dijadikan perhiasan bangunan (patung atau gelas) dan paling popular dijadikan perhiasan di badan manusia.

Dalil al-hadis: Daripada Ibnu Umar dan Aisyah r.huma bahawa Nabi Muhammad SAW mengambil zakat setengah dinar dari setiap 20 dinar dan seterusnya. Baginda SAW mengambil satu dinar pula dari 40 dinar. (riwayat Ibnu Majah).

Biar pun emas itu wujud dalam pelbagai bentuk, namun Islam hanya membahagikan emas kepada dua bentuk atau dua jenis sahaja, iaitu emas perhiasan dan emas bukan perhiasan.

Namun begitu hendaklah difahami bahawa, emas perhiasan itu hanya terbatas kepada emas yang dijadikan perhiasan di tubuh badan wanita sahaja dan emas itu juga mestilah dipakai sekurang-kurangnya satu kali dalam setahun (sepanjang haul).

Maka, emas yang dijadikan perhiasan di bangunan, dibuat gelas, pinggan, pisau, tombol pintu, patung atau apa sahaja, ia bukanlah emas perhiasan.

Begitu juga emas mentah (jongkong, batangan, serbuk, syiling), emas perhiasan wanita yang sudah rosak (putus atau tidak cukup sifat dan tidak lagi dipakai), dan emas yang dipakai di badan orang lelaki, maka semuanya bukan emas perhiasan.

Bagi emas perhiasan wanita, Islam mempunyai sedikit keringanan ke atasnya demi meraikan fitrah wanita yang amat menyukai emas. Maka, Islam memberikan pelepasan yang disebut sebagai uruf (adat pemakaian setempat).

Di Selangor, uruf emas perhiasan adalah seberat 800 gram (g). Hanya emas perhiasan yang melebihi 800g sahaja wajib dizakatkan.

Bagi emas bukan perhiasan, ia tidak mempunyai uruf. Oleh itu, jika beratnya sudah mencapai 85g dan ke atas, wajiblah ia dizakatkan.

Contoh pengiraan: Makcik Kiah mempunyai emas perhiasan seberat 850g dan emas bukan perhiasan (jongkong dan emas yang sudah rosak dan tidak dipakai) seberat 90g.

Kiraannya ialah:
Emas perhiasan wajib zakat: 850g – 800g = 50g
Emas bukan perhiasan wajib zakat: 90g
Maka: 50g + 90g = 140g x harga emas semasa x 2.5 peratus

Walau bagaimanapun, uruf emas perhiasan adalah berbeza-beza mengikut negeri. Maka, sila rujuk kepada pihak berkuasa zakat negeri masing-masing untuk mengetahui uruf terkini.

Manakala emas dalam bentuk pelaburan di pelbagai institusi yang patuh syariah, maka perlulah digabungkan dengan emas bukan perhiasan di pelbagai tempat lain untuk menentukan kecukupan nisab.

Emas yang dipakai oleh orang lelaki juga tidak mendapat pelepasan uruf malah hukumnya haram dan berdosa. Namun begitu, mereka masih wajib mengeluarkan zakat emas berkenaan sebagai emas bukan perhiasan.

Bagi umat Islam yang tinggal di Selangor, fatwa zakat 2017 menyatakan bahawa, emas bukan perhiasan di bawah paras nisab hendaklah digabungkan dengan emas yang melebihi uruf dan dicampurkan pula dengan jumlah pelaburan dan simpanan agar dapat ditentukan jumlah keseluruhan harta bagi penentuan nisabnya. Jika mencapai nisab, maka wajib dizakatkan.

Formula:

Emas perhiasan lebih uruf + emas bukan perhiasan + simpanan + pelaburan = Penentuan kecukupan nisab

Masih ada lanjutan perbincangan mengenai emas untuk sama-sama kita tekuni. Ia termasuklah kepelbagaian kualiti emas (999, 950, 916, 875, 835 dan 750) dan bagaimana pihak zakat memberikan layanan kepada zakat emas pelbagai kualiti ini. Juga mengenai status emas di al-rahn dan pajak gadai konvensional yang masih belum sempat dikupas. Wallahua’lam.

Penulis ialah Pengurus Sekretariat Dakwah dan juga Dai Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan boleh dihubungi di [email protected].

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya