KURANG enam bulan lagi menanti detik bahagia bergelar suami isteri, untuk melihat majlis gilang-gemilang penyatuan dua hati ini. Namun kedua mereka masih mengunci mulut soal tarikh tepat majlis pernikahan. Membiarkan peminat berteka-teki.
Tetapi janji cinta mereka masih sama. Tetap memberikan yang terbaik untuk hubungan, memateri janji setia yang dipahat sejak hari pertama dua hati menjadi satu. Itu prinsip cinta pasangan pelakon dan pengacara popular, Ayda Jebat dan Nabil Mahir.
Malah pertukaran status juga, hanya akan mengukuhkan lagi komitmen mereka dalam melayari alam perkahwinan. Memilih awal tahun depan sebagai waktu sesuai untuk mendirikan rumah tangga, tiada apa yang paling melegakan pasangan ini apabila keluarga juga peminat memberi sokongan tanpa ralat.
Imbangi karier
Setiap wanita yang ingin berumahtangga pasti mempunyai impian untuk majlis perkahwinannya. Namun bagi Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, dia tidak pernah mencari yang gemilang untuk majlisnya kelak. Jelasnya, cukup sekadar apa yang dirancangnya berada dalam keadaan sempurna dan sederhana.
“Ikutkan saya hanya mahu majlis pernikahan, tidak perlu persandingan dan sebagainya. Memang itu yang saya beritahu keluarga, ditambah pula faktor tidak terfikir untuk berkahwin sebelum ini membuatkan saya lagi tidak memasang apa-apa impian ke arah ini.
“Tetapi dalam keadaan ini saya perlu fikirkan status sebagai seorang selebriti. Tanggungjawab kepada peminat dan mereka yang bekerja dengan saya. Jadi bantuan dan pandangan yang ada ini akan menjadikan majlis yang dirancang lebih teratur,” jelasnya yang sebelum ini turut membuat kejutan dengan mengadakan majlis pertunangan secara atas talian pada 28 April lalu.
Melihat perubahan statusnya kelak tidak akan memberi kesan kepada kariernya secara total. Bagi penyanyi yang terkenal dengan lagu Pencuri Hati ini, kepercayaan Nabil membuatkan dia yakin untuk membuat keputusan sendiri.
“Dalam soal ini saya lebih tahu apa yang perlu dilakukan. Soal bekerja, mudah mengamalkan apa yang saya selesa. Termasuk dalam konteks waktu bekerja. Soal tawaran drama juga saya tidak akan tamak, sebab fokus adalah penting dalam setiap apa yang dilakukan.
“Nabil sendiri tidak pernah sentuh hal ini memandangkan dia kenal saya,” kata pelakon filem Pinjamkan Hatiku ini.
Ayda seorang yang matang – Nabil
Nampak ‘gila-gila’ tetapi apa yang boleh dijelaskan Nabil mengenai hubungannya dengan Ayda adalah mudah, memandangkan mereka cukup matang dalam memahami kehendak masing-masing.
“Apa yang kami kongsikan dalam laman sosial bukanlah 100 peratus kehidupan harian kami. Ada bahagian yang kami simpan, sebab itu ada yang tidak kenal macam mana saya kenal Ayda. Dia seorang wanita yang cukup matang dalam membuat keputusan.
“Malah kematangan itu juga membuatkan saya selamat. Ketika dia berkongsi pendapat atau nasihat boleh lihat ada ciri seorang ibu. Mungkin ini bahagian yang orang tidak tahu, tetapi sebab ini juga saya terpikat dengan dirinya,” jelas Nabil yang terkenal sebagai pengacara program hiburan.
Pernah berada dalam hubungan lain sebelum ini, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad Mahir, 32, tidak berselindung memberitahu ada pengajaran yang membuatkan dia cukup menghargai apa dimilikinya kini.
“Setiap pengenalan akan mencipta arah baharu dalam kehidupan. Benar pengalaman lalu ada mengajar saya, tetapi yang penting ini semua membawa pertemuan dengan Ayda,”katanya.
Jelasnya, tiada apa yang lebih melegakan bila keluarga mereka turut memberi restu.
“Paling penting, ibu saya cukup terpikat dengan Ayda, jika dalam hubungan lalu dia hanya menghormati hubungan saya tetapi kali ini lebih ikhlas menerima Ayda. Malah ibu juga seperti rakan karib Ayda,” katanya yang kini sibuk membangunkan beberapa perniagaan bersama Ayda.
Nabil melengkapi saya – Ayda Jebat
Pernah terfikir untuk tidak berkahwin, kongsi penyanyi dan pelakon popular ini, sebelum berkenalan dengan Nabil. bayangan terhadap perkahwinan adalah sesuatu yang mustahil. Malah Ayda menjelaskan dia tidak pernah mengimpikan untuk melayari alam berumah tangga.
“Dalam tempoh saya berkawan dengan orang lain sebelum ini memang saya dapat rasakan hubungan itu tidak akan ke mana. Malah saya sendiri beritahu ibu yang saya tidak akan berkahwin. Ditambah dengan komitmen kerja, saya tidak fikir mampu untuk mempunyai sebuah keluarga.
“Tetapi semuanya berbeza apabila bertemu Nabil. Dalam hubungan ini, kami tidak mencari kesempurnaan tetapi lebih kepada melengkapi diri masing-masing. Ada bahagian yang saya lemah dia bantu dan begitu juga sebaliknya.
“Bila bercakap soal persiapan menjadi isteri, tiada apa yang merunsingkan saya, sebab kami tahu perkahwinan adalah suatu proses yang memerlukan kami berdua bekerjasama dan masing-masing juga faham dengan tanggungjawab yang akan digalas kelak,” katanya.
Cukup bersyukur memiliki seorang bakal suami yang dianggapnya sebagai rakan baiknya kini, kata anak seni kelahiran Melaka ini, sepanjang hampir enam bulan bergelar tunangan orang dia melaluinya dalam fasa yang cukup bahagia.
“Kata orang kalau bertunang akan ada fasa dugaan, tetapi Alhamdulillah sehingga ke hari ini kami melaluinya dengan baik.
“Tiada keadaan yang memerlukan kami bertengkar atau bermasam muka. Sebab apa yang kami amalkan dalam hubungan ini untuk sentiasa jujur,” kata penyanyi berusia 28 tahun ini. – Mingguan Malaysia